BEKAS Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, sedia untuk kembali berjuang dalam parti itu sekiranya diminta berbuat demikian.
Ahli Parlimen Sembrong itu menegaskan tidak pernah keluar parti meskipun digantung selama tiga tahun.
“Tiga tahun digantung, saya juga tidak pernah serang parti. Sebelum ini Majlis Tertinggi telah membuat keputusan untuk menggantung saya.
“Jadi jika ikhlas pendirian pucuk pimpinan parti untuk menarik balik penggantungan terhadap diri saya, saya akan kembali terus berjuang demi parti UMNO,” katanya dalam kenyataan di akaun media sosial miliknya, semalam.
Pada 2023, UMNO menggantung keahlian Hishammuddin selama enam tahun.
Pada 6 Mac lalu, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, dilaporkan berkata, UMNO membuka pintu seluas-luasnya kepada mana-mana bekas ahli yang pernah dipecat, digantung keahliannya untuk kembali ke parti itu tanpa syarat.
Beliau yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu berkata, pelawaan di bawah inisiatif ‘Rumah Bangsa’ itu juga dibuka kepada mana-mana individu yang mahu bersama dengan perjuangan parti itu untuk menyertai UMNO.
Sebelum ini, Khairy Jamaluddin secara terbuka mengumumkan mahu kembali menyertai parti itu menerusi agenda ‘Rumah Bangsa’.
Kesediaan bekas Ketua Pemuda UMNO itu disambut baik kepemimpinan pelbagai peringkat.
