SETIAUSAHA Agung Perikatan Nasional, Datuk Seri Takiyuddin Hassan semalam mengesahkan bahawa parti MIC sudah menjadi komponen PN yang sah.
Bagaimanapun, timbalan presiden MIC Datuk Seri M. Saravanan berkata parti itu belum membuat keputusan sama ada meninggalkan Barisan Nasional atau kekal dalam gabungan itu.
“Kami tidak membuat sebarang permohonan rasmi untuk menyertai PN.
“Sama ada untuk kekal dalam BN atau menyertai mana-mana parti lain, keputusan itu masih belum dibuat,” katanya.
Jelas beliau, keputusan sedemikian terletak di bawah bidang kuasa Jawatankuasa Kerja Pusat parti.
Takiyuddn berkata di Kota Bharu, PN akan menawarkan peranan dan kedudukan yang lebih baik kepada MIC sekiranya parti itu menyertai gabungan berkenaan sebagai parti anggota.
Beliau berkata, pihaknya akan menyerahkan surat rasmi kepada MIC bagi memaklumkan penerimaan parti itu sebagai parti anggota dalam gabungan berkenaan.
Menurutnya, beliau dijadualkan bertemu Presiden MIC, Tan Sri S A Vigneswaran di Kuala Lumpur pada malam Selasa bagi menjelaskan keputusan tersebut.
“MIC sebenarnya telah diterima lebih awal iaitu pada Disember 2025, namun mesyuarat terbaru PN pada 14 Mac lalu telah mengesahkan minit penerimaan parti itu sebagai parti anggota di bawah kepimpinan baharu,” katanya kepada pemberita pada Selasa.
