PERMOHONAN bekas Ahli Parlimen Sembrong dan bekas Ahli Parlimen Rembau untuk menyertai semula UMNO akan dibawa dalam Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) parti pada 17 April depan.
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, seperti yang sudah diumumkan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, Khairy Jamaluddin dan beberapa bekas pemimpin UMNO lain sudah menghantar surat permohonan bagi menyertai semula parti keramat itu.
Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Penyatuan Rumah Bangsa berkata, pihaknya sudah menerima beberapa permohonan kemasukan semula ke dalam parti UMNO termasuk ahli-ahli parti yang diambil tindakan di peringkat bahagian.
“Ya, kita memang sudah terima beberapa permohonan dan kita akan bawa perkara ini ke Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi pada 17 April depan.
“Saya tak boleh kata (akan putuskan), tetapi saya akan bawa atas semangat Rumah Bangsa dan saya lihat ia sebagai satu yang positif dan tentunya akan ada keputusan yang baik ke arah menjayakan Rumah Bangsa.
“Kita masih lagi sedang mengumpul (permohonan), jadi saya tidak dapat beri (jumlah permohonan yang sebenar). Tetapi, nama-nama besar seperti yang disebut (Hishammuddin dan Khairy) itu betul, memang dah mohon,” katanya.
Mohamed Khaled berkata demikian ketika sidang media di Kota Tinggi, semalam.
Menteri Pertahanan itu juga memaklumkan tiada tempoh masa yang diputuskan untuk mana-mana bekas pemimpin atau ahli parti menghantar permohonan berkenaan.
Sebelum ini, Hishammuddin, bekas Ketua Penerangan UMNO, Shahril Sufian Hamdan, Ketua UMNO Bahagian Jempol, Datuk Seri Mohd Salim Sharif dan bekas Ketua UMNO Bahagian Tebrau, Datuk Maulizan Bujang digantung keahliannya selama enam tahun.
Manakala, bekas Pengerusi Perhubungan UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar dan Khairy dipecat UMNO berikutan pelanggaran disiplin sewaktu Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Penggantungan dan pemecatan pemimpin UMNO itu diputuskan oleh Majlis Tertinggi UMNO pada 27 Januari 2023.
