UMNO menyambut baik kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang memberi bayangan bahawa Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) tidak akan diadakan dalam masa terdekat, sebaliknya menegaskan keutamaan perlu diberikan kepada usaha menangani cabaran kos sara hidup rakyat.
Setiausaha Agung UMNO Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata dalam situasi negara berdepan ketidaktentuan global ketika ini, semua pihak wajar mengetepikan perebutan kuasa dan memberi tumpuan sepenuhnya kepada kebajikan rakyat.
“Ketika ini negara sedang berhadapan dengan krisis yang besar, maka sewajarnya kita jangan terlalu memikirkan soal perebutan kuasa dan kedudukan semata-mata.
“Apa yang paling penting adalah pemimpin negara terus memberikan fokus kepada bagaimana memastikan rakyat mampu berdepan dengan kos sara hidup yang semakin meruncing,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Serentak Persidangan UMNO Cawangan-Cawangan 2026 dan Majlis Jamuan Aidilfitri UMNO Bahagian Lumut di Dewan Merdeka, Majlis Perbandaran Manjung di Manjung, semalam.
