Laungan ‘Tolak Umno’ bergema di Stadium Paroi

LAUNGAN “Tolak Umno” bergema dalam sebuah ceramah Pakatan Harapan (PH) di Paroi, Seremban, malam tadi selepas beberapa pemimpin gabungan itu selesai berucap, walaupun terdapat gesaan berulang untuk bertenang.

Ratusan penyokong PH berhimpun berdekatan Stadium Tunku Abdul Rahman di Seremban untuk ceramah itu, dengan ramai berpakaian warna parti masing-masing, termasuk baju PKR biru putih yang tertera perkataan “Team Tok Min”, merujuk Menteri Besar, Aminuddin Harun.

Setiausaha Agung DAP, Loke Siew Fook, berkata tindakan tidak patut didorong emosi, tetapi perlu berlandaskan pemahaman jelas terhadap realiti dalam krisis Negeri Sembilan.

“Ada lagi isu di kalangan Yang Dipertuan Besar dengan Datuk-Datuk Undang. Itu kita tak boleh campur.”

Loke yang juga Ahli Parlimen Seremban berkata, isu sedemikian perlu diselesaikan dalam institusi diraja itu sendiri. Sehingga itu, tiada keputusan besar dapat dicapai, katanya.

“Pertamanya, tak boleh lantik menteri besar baharu sebab tak boleh ada majlis angkat sumpah. Kedua, tak boleh lantik mana-mana exco baharu. Malah, pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) juga tak dapat dilaksanakan.

“Oleh kerana itu, pentadbiran kita ini ‘status quo’, iaitu selagi isu ini belum selesai, tak timbul mana-mana pihak boleh mengambil alih sebagai menteri besar.

“Tok Min yang akan kekal menjadi menteri besar,” kata Loke yang juga menteri pengangkutan.

Tegasnya, beliau memahami kemarahan dan desakan untuk DUN dibubarkan segera, tetapi kerajaan akan terus mentadbir negara dan negeri dengan baik sebelum berdepan pihak pembangkang apabila tiba masa sesuai.