TANGGA BATU, 6 Nov – Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail menyatakan keyakinan bahawa Barisan Nasional (BN) dapat mempertahankan kemenangan yang diperoleh di Melaka pada Pilihan Raya Negeri (PRN), berdasarkan perkembangan gerak kerja jentera serta penglibatan anak muda dalam kempen parti.
Beliau yang juga Menteri Besar Pahang berkata, penglibatan golongan muda menerusi pendekatan secara bersemuka dalam talian menjadi antara usaha penting untuk mendekati pengundi, khususnya mereka yang bakal mengundi buat kali pertama.
“Perkembangan positif itu turut didorong peranan Sekolah Patriotik UMNO (SPU) yang menggerakkan anak muda untuk mendekati rakan sebaya serta menyampaikan maklumat berkaitan parti dan pentadbiran negeri.
“Alhamdulillah, jentera BN nampaknya semakin hari semakin bersemangat dan hebat. Bersama-sama saya, kira-kira 100 anggota jentera dari Pahang serta 100 anak muda daripada SPU turut hadir membantu kempen bagi memastikan calon BN mendapat sokongan pengundi,” katanya pada program santai anak muda DUN Sungai Udang, malam tadi.
Kata Pengerusi UMNO Negeri Pahang, maklum balas yang diterima daripada golongan muda juga menunjukkan minat untuk melihat kesinambungan pembangunan dan kecemerlangan pentadbiran negeri Melaka.
“Anak-anak muda ini mahu melihat kesinambungan pembangunan negeri, termasuk perkembangan ekonomi yang ditunjukkan Melaka. KDNK negeri mencatatkan peningkatan, kadar pengangguran pula semakin berkurangan dan ekonomi terus berkembang.
“Saya berharap prestasi ini dapat menjadi antara ukuran kepada pengundi di Melaka dalam menilai hala tuju pentadbiran negeri,” jelasnya.
Dalam pada itu, beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Cameron Highlands berpandangan, pihak lawan seharusnya mengemukakan cadangan dan tawaran yang jelas kepada rakyat, bukannya sekadar membawa slogan untuk menyelamatkan Melaka tanpa memperincikan pendekatan yang akan dilaksanakan.
“Pencapaian pentadbiran negeri di bawah kepimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh perlu dinilai berdasarkan perkembangan dan angka ekonomi yang boleh dijadikan rujukan.
“Angka-angka yang menunjukkan peningkatan KDNK itu adalah fakta. Angka tidak boleh berbohong. Melaka bukan sekadar menunjukkan prestasi, tetapi telah memperlihatkan perkembangan di bawah pentadbiran BN,” katanya lagi.
Seterusnya beliau menegaskan bahawa pendekatan pembangunan untuk semua kaum bukanlah perkara baharu, sebaliknya telah lama menjadi sebahagian daripada prinsip pentadbiran BN.
“BN telah lama melaksanakan pendekatan untuk semua kaum. Tidak ada mana-mana kaum yang sepatutnya dipinggirkan. Melaka juga telah menunjukkan bahawa negeri ini adalah untuk semua rakyatnya.
“Kerjasama politik dengan mana-mana pihak sekalipun tidak seharusnya menidakkan prinsip tersebut,” ujarnya. – UMNO Online
