TANGGA BATU, 6 Nov – Ketua Penerangan UMNO Malaysia, Datuk Seri Azalina Othman Said menegaskan bahawa pengundi perlu melihat lebih jauh daripada populariti seseorang calon ketika membuat keputusan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, sebaliknya menilai parti yang diwakili serta kemampuan membentuk pentadbiran negeri.
Beliau yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) berkata, kemenangan seseorang calon bukan sekadar memberikan mandat kepada individu terbabit, tetapi turut menentukan parti yang bakal menerajui kerajaan negeri.
Jelasnya, populariti seseorang calon tidak seharusnya menjadi satu-satunya ukuran sehingga mengabaikan pertimbangan terhadap parti yang akan membentuk kerajaan.
“Yang bertanding dalam PRN Melaka ini ialah parti Barisan Nasional (BN), manakala calon-calon yang diketengahkan mewakili parti. Pihak yang akan mentadbir negeri juga adalah parti.
“Orang muda mesti mengundi untuk masa depan. Kalau kita tersalah memilih, walaupun calon itu popular, kita perlu melihat juga parti yang diwakilinya dan siapa yang akan mentadbir negeri.
“Jika calon diberikan jawatan Exco kerajaan negeri, sudah tentu ia akan memudahkan urusan rakyat di kawasan masing-masing, serta dapat melaksanakan pembangunan kepada rakyat di kawasan berkenaan,” katanya.
Turut hadir calon BN bagi DUN Kelebang Lim Ban Hong serta pengundi- pengundi muda di kawasan ini.
Mengulas lanjut, Azalina yang juga Ketua UMNO Bahagian Pengerang menjelaskan, bahawa landskap politik di peringkat Persekutuan tidak boleh disamakan sepenuhnya dengan pentadbiran negeri memandangkan setiap negeri mempunyai keperluan, kepentingan dan pertimbangan tersendiri.
“Apa yang berlaku di peringkat Persekutuan dan negeri adalah dua perkara yang berbeza. Pihak tertentu tidak seharusnya mencampuri urusan negeri kerana setiap negeri mempunyai pertimbangan tersendiri.
“Seperti Sabah, Johor, Negeri Sembilan, Melaka dan Sarawak, semuanya mempunyai dinamika politik masing-masing. Jangan samakan politik negeri dengan politik pusat kerana dalam perjanjian yang dimeterai, kita tidak terikat untuk mengikuti pusat 100 peratus,” katanya lagi
Tambah beliau, kefahaman terhadap perbezaan landskap politik itu penting bagi memastikan rakyat dapat menilai setiap perkembangan politik negeri berdasarkan kepentingan serta keperluan tempatan.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) merekodkan sebanyak 687,697 pemilih berdaftar yang layak mengundi bagi PRN Melaka ke-16, berdasarkan Daftar Pemilih Tambahan April 2026 yang diwartakan pada 14 November lalu.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 14 Nov sebagai hari mengundi bagi PRN Melaka manakala undi awal pada 10 Nov.
Tempoh berkempen yang ditetapkan adalah selama 14 hari bermula selepas pengisytiharan calon yang bertanding sehingga jam 11.59 malam 9 Nov(Jumaat). – UMNO Online
