Isu Najib: Junjung Titah, Laksanakan Segera – Dr Akmal

KUALA LUMPUR, 7 Nov – Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia menjunjung kasih titah Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim, bertarikh 7 November 2026 berhubung Perintah Pengampunan Bersyarat terhadap Datuk Seri Mohd Najib Abdul Razak.

Ketuanya, Datuk Dr. Akmal Saleh berkata, titah Seri Paduka Baginda amat jelas bahawa perintah pengampunan bersyarat tersebut adalah “jelas, nyata dan tanpa sebarang ambiguiti, serta tidak terkait dengan mana-mana kes lain terhadap beliau.”

Menurutnya, Seri Paduka Baginda turut menitahkan bahawa “tidak sepatutnya timbul kekeliruan tafsiran dan tidak sepatutnya menyebabkan ketidakpastian berpanjangan terhadap pelaksanaan keputusan yang telah diperkenankan.” katanya.

Beliau berkata, pada 6 November 2026, semua syarat telah dipenuhi sepenuhnya apabila denda RM50 juta dijelaskan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Katanya, Mahkamah Tinggi juga telah mengeluarkan perintah termeterai bagi membolehkan Datuk Seri Najib menjalani baki hukuman secara tahanan di rumah, manakala Kementerian Dalam Negeri telah mengisytiharkan kediaman beliau sebagai penjara di bawah Seksyen 3 Akta Penjara 1995.

“Ini bukan pembebasan. Ia adalah pelaksanaan titah, iaitu baki hukuman dijalani secara tahanan di rumah sebagaimana yang telah diperkenankan oleh Seri Paduka Baginda,” katanya.

Akmal turut menjelaskan bahawa titah Seri Paduka Baginda menyatakan mesyuarat Lembaga Pengampunan pada 18 September 2026 telah dihadiri oleh Peguam Negara yang memberikan nasihat sewajarnya kepada Baginda.

Justeru, katanya, sebarang persoalan tafsiran sewajarnya telah dibangkitkan pada peringkat tersebut dan bukan selepas syarat dipenuhi serta perintah mahkamah dikeluarkan.

Beliau turut mengambil maklum bahawa selepas titah Seri Paduka Baginda dizahirkan, masih terdapat kenyataan yang mengaitkan perintah pengampunan berkenaan dengan kes lain serta mempersoalkan tafsirannya.

“Sedangkan Seri Paduka Baginda telah menitahkan dengan jelas bahawa perintah tersebut tidak terkait dengan mana-mana kes lain dan tidak sepatutnya timbul kekeliruan tafsiran,” katanya.

Sehubungan itu, Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia menggesa supaya titah Seri Paduka Baginda dilaksanakan dengan segera dan Datuk Seri Najib dibenarkan menjalani baki hukuman secara tahanan di rumah sebagaimana yang telah diperkenankan.

Akmal berkata, sebarang proses lanjut, termasuk rujukan ke mahkamah, tidak wajar dijadikan alasan untuk menangguhkan pelaksanaan titah yang telah dinyatakan oleh Seri Paduka Baginda sebagai jelas dan tanpa ambiguiti.

Dalam perkembangan sama, beliau memaklumkan bahawa Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia di seluruh peringkat negeri dan bahagian akan membuat laporan polis berhubung perkara itu bagi membolehkan pihak berkuasa meneliti sama ada terdapat sebarang pelanggaran undang-undang dalam pelaksanaan titah dan perintah mahkamah berkenaan.

Beliau turut menegaskan bahawa kuasa pengampunan merupakan prerogatif Diraja di bawah Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan dan pelaksanaannya “hendaklah dihormati selaras dengan kedudukan Raja Berperlembagaan dan prinsip kedaulatan undang-undang.”

“Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia akan terus menjunjung titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong serta mempertahankan kedaulatan undang-undang dan keluhuran Perlembagaan Persekutuan,” katanya lagi. – UMNO Online


Leave a Reply