HANG TUAH JAYA, 7 Nov – Pelancaran manifesto Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) memperlihatkan semangat kebersamaan yang perlu terus diperkukuh sehingga hari pengundian, kata Ketua Wanita UMNO, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad.
Beliau berkata, momentum kebersamaan yang ditonjolkan menerusi pelancaran manifesto berkenaan perlu dikekalkan dan diteruskan sepanjang baki tempoh kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.
Menurutnya, kesepaduan dan semangat kebersamaan itu penting untuk memastikan gerak kerja jentera parti terus berjalan dengan komitmen tinggi sehingga hari mengundi.
“Kita di pelancaran manifesto dan manifesto Barisan Nasional juga Perikatan Nasional ini menunjukkan kebersamaan. Kita harus teruskan momentum kebersamaan ini sehingga pilihan raya negeri, hari mengundi dan insya-Allah apa yang kita harapkan serta doakan adalah kemenangan nanti,” katanya.
Terdahulu beliau hadir dalam Majlis Pelancaran Manifesto BN-PN PRN Melaka Ke-16 yang disempurnakan oleh Pengerusi BN negeri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh, di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Noraini mengingatkan seluruh jentera supaya memanfaatkan baki beberapa hari kempen dengan terus bekerja bersungguh-sungguh bagi memastikan momentum yang telah dibina dapat dikekalkan.
“Kita ada beberapa hari lagi untuk berkempen. Jadi, jentera perlu teruskan berkempen bersungguh-sungguh. Masa tidak berapa lama lagi, kita pastikan kemenangan itu terus dicapai di negeri Melaka yang bertuah ini,” katanya.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebelum ini menetapkan hari pengundian bagi PRN Melaka pada 14 Nov manakala pengundian awal pada 10 Nov.
Pada PRN Melaka 2021, BN membentuk kerajaan selepas menang 21 daripada 28 kerusi dipertandingkan, manakala PH menang lima kerusi dan PN dengan dua kerusi.
Berdasarkan statistik SPR, sebanyak 687,697 pemilih layak mengundi pada PRN kali ini membabitkan 675,166 pengundi biasa, 9,769 anggota tentera dan pasangan serta 2,762 anggota polis. – UMNO Online
