PRN: Nilai Prestasi Kerajaan Negeri Berdasarkan Fakta – Wan Rosdy

ALOR GAJAH, 10 Nov – Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail menyeru pengundi Melaka supaya menilai prestasi dan pencapaian kerajaan negeri berdasarkan fakta serta perkembangan pembangunan yang telah dilaksanakan.

Beliau yang juga Menteri Besar Pahang berkata Pilihan Raya Negeri (PRN) juga medan untuk membincangkan hala tuju pembangunan negeri pada masa hadapan.

“Ini adalah PRN jadi sepatutnya tumpuan diberikan kepada perkembangan dan pembangunan negeri yang telah dilaksanakan sebelum ini.

“Fokus kepada fakta kerana ini adalah PRN (Pilihan Raya Negeri)… sudah tentu kena fokus kepada pembangunan perkembangan Melaka, yang dibawa oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.

“Kita dapat melihat perkembangan ekonomi yang positif, peningkatan kebajikan rakyat, penurunan kadar pengangguran serta prestasi Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang semakin baik.

“Semua ini merupakan fakta yang perlu dinilai oleh pengundi. Sebaliknya, mereka cuba mengelirukan pengundi dengan membangkitkan persepsi, tohmahan dan isu yang tidak berasaskan fakta semata-mata untuk memburukkan calon-calon BN (Barisan Nasional),” katanya.

Wan Rosdy berkata demikian ketika ditemui UMNO Online selepas bertemu pengundi di Tanjung Rimau, turut hadir calon Barisan Nasional (BN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Gadek, S Nadarajah.

Mengulas lanjut, beliau turut berharap pengundi tidak mudah terpengaruh dengan dakyah dibawa pihak lawan.

“Saya berharap pengundi tidak mudah terpengaruh dengan dakwaan sedemikian, sebaliknya menilai prestasi kerajaan negeri berdasarkan fakta dan pencapaian yang telah dilaksanakan,” ujar beliau.

Terdahulu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 14 November sebagai hari pengundian PRN Melaka manakala hari pengundian awal pada 10 November.

DUN Melaka dibubarkan secara rasmi berkuat kuasa 23 September lalu selepas mendapat perkenan Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Mohd Ali Rustam. – UMNO Online

 


Leave a Reply