KUALA LUMPUR, 13 Nov – Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki menegaskan bahawa pemimpin Pakatan Harapan (PH), khususnya DAP, PKR dan Amanah, tidak seharusnya terus mendesak pemimpin UMNO dan Barisan Nasional (BN) meletakkan jawatan dalam Kabinet serta agensi kerajaan.
Sebaliknya, beliau mengingatkan bahawa pembentukan Kerajaan Perpaduan pada 23 November 2022 berasaskan dua perjanjian bertulis yang dipersetujui dan ditandatangani parti-parti terlibat.
Menurutnya, antara perkara utama yang terkandung dalam perjanjian berkenaan ialah komitmen semua parti untuk mempertahankan kedudukan Islam, Melayu dan Bumiputera serta institusi Raja-Raja Melayu seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan sebagaimana berikut:

“Bersetuju bahawa semua parti dalam Kerajaan Perpaduan Malaysia akan mengambil langkah yang perlu supaya dasar, program, pendirian, perlakuan dan pembawaan kerajaan, termasuk wakil parti-parti yang membentuk Kerajaan Perpaduan, menjunjung peruntukan-peruntukan Perlembagaan berhubung kedudukan Islam, Melayu/Bumiputera dan Raja-Raja Melayu.”
Dr Asyraf menerangkan menerusi hantaran dalam laman Facebooknya, perjanjian itu turut menetapkan supaya tindakan kerajaan tidak dilihat mengguris atau melanggar kepentingan Islam, Melayu dan Bumiputera serta institusi Raja-Raja Melayu.
Beliau turut mengingatkan bahawa UMNO-BN bersetuju menyertai Kerajaan Perpaduan susulan titah Yang di-Pertuan Agong ketika itu supaya sebuah kerajaan dibentuk selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Malah, katanya, sokongan Ahli Parlimen BN menjadi antara faktor penting yang mencukupkan 112 sokongan Ahli Parlimen bagi membolehkan Datuk Seri Anwar Ibrahim mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri.
Bagaimanapun, beliau mendakwa garis-garis merah yang dipersetujui bersama ketika pembentukan kerajaan itu semakin hari semakin dicabuli.
Sehubungan itu, beliau berpandangan tidak perlu lagi wujud tindakan cabar-mencabar berhubung peletakan jawatan Menteri Kabinet atau pemimpin dalam agensi kerajaan.
“Tidak perlulah cabar-mencabar lagi untuk meletakkan jawatan. Lebih bermaruah dan gentleman jika kembalikan semula mandat kepada rakyat untuk dibubarkan Parlimen setelah melangkaui tempoh empat tahun kerajaan ini tertubuh,” katanya.
Beliau menegaskan, sekiranya perjanjian yang menjadi asas pembentukan Kerajaan Perpaduan tidak lagi dihormati, jalan terbaik adalah mengembalikan mandat kepada rakyat untuk menentukan hala tuju pemerintahan negara. – UMNO Online
