KUALA LUMPUR, 13 Nov – UMNO mengemukakan empat pilihan kepada DAP susulan ketidakpuasan hati parti itu berhubung pengampunan bersyarat terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak, selain menegaskan bahawa Perjanjian Kerjasama Kerajaan Perpaduan perlu dihormati oleh semua parti yang terlibat.
Ketua Penerangan UMNO Malaysia, Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, kenyataan Pengerusi Kebangsaan DAP, Gobind Singh Deo yang menggesa Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi meletakkan jawatan sekiranya tidak menyokong kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim amat dikesali dan tidak membantu memperkukuh semangat kerjasama dalam Kerajaan Perpaduan.
Beliau berkata, Kerajaan Perpaduan dibentuk susulan titah Yang di-Pertuan Agong ke-15 selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), menerusi rundingan politik dan persefahaman bersama antara gabungan serta parti yang mengambil bahagian.
Katanya, pada 16 Disember 2022, gabungan yang terlibat telah memeterai Perjanjian Kerjasama Kerajaan Perpaduan Malaysia sebagai kerangka kerjasama politik, kestabilan Parlimen dan keberkesanan pentadbiran kerajaan.

Menurutnya, Klausa 4 perjanjian berkenaan menetapkan parti-parti yang mengambil bahagian perlu menyokong Perdana Menteri dalam perkara berkaitan usul percaya, rang undang-undang perbekalan serta usul prosedur yang memberi kesan kepada legitimasi perlembagaan Kerajaan Persekutuan.
Bagaimanapun, beliau menegaskan komitmen tersebut tidak boleh disalah tafsir seolah-olah setiap rakan gabungan wajib bersetuju tanpa syarat dengan setiap pendirian atau kenyataan politik Perdana Menteri mahupun pemimpin lain.
“Perjanjian Kerjasama ini bukan sekadar mengenai kerjasama politik atau perkongsian kuasa. Perenggan C dalam Mukadimah perjanjian, yang merupakan bahagian paling penting, turut mengesahkan komitmen pihak yang menandatangani untuk mempertahankan Perlembagaan Persekutuan, termasuk kedudukan Islam, orang Melayu dan Bumiputera serta institusi Raja-Raja Melayu.”
Azalina berkata, mengeluarkan ultimatum secara terbuka terhadap Presiden parti rakan gabungan bukan tindakan membina dan tidak selari dengan semangat Perjanjian Kerjasama tersebut.
Sebaliknya, katanya, sebarang perbezaan pandangan antara rakan gabungan perlu diselesaikan menerusi dialog dan rundingan, bukannya tekanan terbuka atau tuntutan supaya seseorang pemimpin meletakkan jawatan.
Beliau turut menegaskan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi selaku Presiden UMNO dan Pengerusi Barisan Nasional (BN) mempunyai tanggungjawab untuk melindungi kepentingan, prinsip serta mandat politik parti.
Katanya, UMNO juga mempunyai tanggungjawab moral dan undang-undang untuk mempertahankan aspek penting dalam Perjanjian Kerjasama itu, termasuk rujukan kepada titah diraja berkaitan prerogatif pengampunan di bawah Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan.
Mengulas pengampunan membabitkan Datuk Seri Najib yang diketahui umum sejak awal 2024, Azalina berkata kuasa pengampunan merupakan kuasa perlembagaan yang terletak pada pihak berkuasa berkaitan dan tertakluk kepada prosedur serta aturan institusi yang ditetapkan Perlembagaan Persekutuan.
Justeru, katanya yang juga Menteri Undang-undang dan Reformasi Institusi, adalah tidak wajar menggambarkan pelaksanaan kuasa perlembagaan tersebut sebagai keputusan politik unilateral yang boleh dikaitkan dengan mana-mana parti, termasuk UMNO.
Susulan ketidakpuasan hati DAP terhadap perkembangan terbaharu berhubung pengampunan bersyarat Najib, Azalina menggariskan empat pilihan yang boleh dipertimbangkan parti itu.
Pilihan pertama ialah menggunakan mekanisme pengantaraan menerusi Klausa 5(c) yang memperuntukkan penubuhan Majlis Perundingan, terdiri daripada wakil gabungan yang mengambil bahagian bagi memantau pelaksanaan Perjanjian Kerjasama serta membantu menyelesaikan sebarang pertikaian atau salah faham secara harmoni.
Beliau mempersoalkan mengapa mekanisme pengantaraan itu tidak digunakan lebih awal sedangkan isu pengampunan berkenaan sudah diketahui umum sejak Januari 2024.
Pilihan kedua ialah menamatkan Perjanjian Kerjasama Kerajaan Perpaduan. Bagaimanapun, Azalina berkata, perjanjian tersebut tidak mempunyai klausa penamatan kerana ia bertujuan berlangsung sehingga tamat penggal Parlimen ke-15.
“Justeru, kesimpulan yang jelas dalam keadaan ini ialah pembubaran Parlimen ke-15.”
Pilihan ketiga ialah DAP bertenang dan membenarkan aturan sedia ada diteruskan.
Beliau turut mengingatkan bahawa DAP juga pernah mendapat manfaat daripada pelaksanaan prerogatif pengampunan diraja pada 2018 serta titah diraja pada 2022 yang memudahkan pembentukan Kerajaan Perpaduan.
Katanya, perkara itu mengukuhkan kepentingan menghormati peranan perlembagaan serta prerogatif pengampunan diraja.
Pilihan keempat pula ialah DAP memohon semakan terhadap Perenggan C dalam Mukadimah Perjanjian Kerjasama yang disifatkan UMNO sebagai antara klausa penting dalam perjanjian tersebut.
Azalina berkata, sebarang pertimbangan DAP untuk menyemak perenggan berkenaan boleh membawa kesan yang tidak dijangka terhadap kesinambungan Kerajaan Perpaduan.
Dalam pada itu, beliau turut mempersoalkan keputusan Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP pada 19 September 2026 yang memutuskan Setiausaha Agung parti itu meletakkan jawatan sebagai Menteri Pengangkutan susulan pengampunan bersyarat berkenaan.
Katanya, keputusan unilateral DAP tanpa rundingan terlebih dahulu telah mengakibatkan ketidakstabilan politik dalam kalangan rakan gabungan.
Menyentuh kerjasama politik di peringkat negeri, Azalina mengingatkan bahawa tiada peruntukan dalam Perjanjian Kerjasama yang menghalang mana-mana parti daripada menjalin kerjasama politik dengan parti lain di peringkat negeri.
Katanya, perkara itu dapat dilihat menerusi kerjasama politik pelbagai gabungan dalam perjanjian berkenaan ketika Pilihan Raya Negeri Sabah ke-17 pada November 2025 serta Pilihan Raya Negeri Sarawak ke-13 yang dijadualkan pada Disember 2026.
Jelasnya, kerjasama politik di peringkat Persekutuan perlu dibezakan daripada aturan politik di peringkat negeri.
“Sebarang kerjasama politik di Johor, Negeri Sembilan, Melaka atau negeri-negeri lain perlu ditentukan berdasarkan keputusan kepimpinan parti masing-masing serta keadaan politik yang wujud di setiap negeri.”
Menegaskan pendirian UMNO, Azalina berkata parti itu akan terus menyertai Kerajaan Perpaduan berdasarkan keputusan politik bersama demi kepentingan rakyat dan tanggungjawab kepada negara.
“UMNO akan terus menghormati komitmen yang telah dibuat, menghormati kepimpinan Perdana Menteri dan mempertahankan Perlembagaan Persekutuan.
“Kami telah menjelaskan pendirian. Langkah seterusnya adalah di pihak anda,” tegas Azalina lagi. – UMNO Online
