Demikian tekad Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Ab Rauf Yusoh yang bersyukur ke hadrat Allah SWT kerana dengan limpah rahmat dan izin-Nya, beliau sekali lagi diberikan kepercayaan serta amanah untuk menerajui pentadbiran Kerajaan Negeri Melaka.
“Sesungguhnya, amanah ini bukan sekadar satu penghormatan, sebaliknya satu tanggungjawab besar yang akan saya galas dengan penuh keikhlasan, kejujuran dan kesungguhan.

“Kepada seluruh rakyat Melaka, saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih atas keyakinan serta mandat yang diberikan kepada Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) untuk meneruskan pentadbiran negeri ini.
“Saya bukan Ketua Menteri kepada mereka yang mengundi saya sahaja. Saya adalah Ketua Menteri kepada seluruh rakyat Melaka, tanpa mengira kaum, agama, latar belakang mahupun kecenderungan politik,” katanya dalam satu catatan di laman Facebook.
Sabtu lalu, BN/PN menang 24 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) daripada keseluruhan 28 kerusi dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, manakala empat kerusi lagi dimenangi oleh Pakatan Harapan (PH).
Tambah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Bidara itu, dalam mandat baharu ini, beliau akan memberikan tumpuan kepada usaha memperkukuh ekonomi negeri, menarik pelaburan berkualiti, memperkasa kebajikan rakyat, mempercepat pelaksanaan projek-projek pembangunan strategik serta memperkukuh respons kepada aduan rakyat.
Katanya lagi, sebagai penghargaan kepada seluruh rakyat Melaka yang telah memberikan kepercayaan dan mandat kepada BN/PN untuk meneruskan pentadbiran negeri ini, beliau telah mengumumkan hari ini sebagai hari cuti khas bagi negeri melaka.
Manakala dalam hantaran terdahulu, Ab Rauf berkata ‘tiada tempoh bulan madu’ baginya sebaliknya, tanggungjawab tetap berjalan seperti biasa.

“Bagi saya, khidmat kepada rakyat tidak mengenal waktu dan tiada istilah bulan madu. Hari ini (Ahad, 15 Nov) saya diiringi oleh Datuk Bandar Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) Datuk Haji Shadan Othman, untuk turun padang sebaik menerima laporan kejadian kebakaran melibatkan rumah kedai di kawasan Bangunan Stadthuys, Banda Hilir.
“Alhamdulillah, perkara paling utama, tiada kehilangan nyawa dilaporkan. Pihak bomba sedang menjalankan siasatan bagi mengenal pasti punca kejadian,” katanya.
Begitu juga Ab Rauf turut menyantuni beberapa pelancong dan pengunjung yang sedang menikmati keindahan kawasan bersejarah ini.
“Inilah wajah Melaka yang sentiasa meriah dengan kehadiran pelancong dari dalam dan luar negara.
“Esokkan (hari ini) cuti, pakat-pakatlah jalan-jalan kat bandar Melaka. Jangan duduk rumah je,” katanya.
Pada Ahad, Ab Rauf yang juga Pengerusi BN Negeri mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri bagi penggal kedua di hadapan Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Dr Mohd Ali Mohd Rustam dalam istiadat yang berlangsung di Dewan Seri Utama, Pejabat Yang di-Pertua Negeri Melaka Seri Negeri, Ayer Keroh.– UMNO ONLINE
