Hasil Desakan Pembangkang, Sekali Lagi RUU IPCMC Ditangguhkan

Saya ingin mengucapkan syukur kehadrat Ilahi kerana dengan izinNya dan perjuangan berterusan blok pembangkang, akhirnya kerajaan PH tunduk kepada desakan blok pembangkang, Rang Undang-Undang (RUU) Penubuhan Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC) berjaya ditangguh ke sidang tahun hadapan.

Ini adalah sebahagian dari usaha dan perjuangan Barisan Nasional, bersama PAS dan GPS untuk membela anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan satu kemenangan bermakna sebelum berakhir sesi Parlimen kali ini.

Saya percaya, kerajaan seharusnya memberi tumpuan untuk mempertingkatkan kebajikan anggota polis berserta keluarga mereka, bukan hal ehwal memantau tatatertib semata-mata.

Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) telah ditubuhkan pada 25 Julai 2014 dengan tujuan memperkasakan PDRM menerusi pemantapan integriti dan pematuhan standard dalam kalangan anggotanya. Kita yakin dengan kawalan dalaman, pemantauan berterusan dan disiplin yang tinggi, JIPS mampu melaksanakannya berbanding dengan kawalan luaran menerusi undang-undang.

RUU IPCMC yang ditambah baik tidak akan menjadi satu bentuk kawalan yang berkesan kerana ia telah melangkaui peruntukan undang-undang asas negara, iaitu Perlembagaan Malaysia terutama Perkara 140 & Perkara 135 malah klausa-klausa yang dicadangkan dilihat memberikan tekanan yang melampau dan tidak munasabah terhadap anggota polis.

Sebelum ini walaupun sesi town hall telah dijalankan oleh jawatankuasa khas untuk mengumpulkan maklum balas daripada pihak berkepentingan dan orang awam, namun ia hanya kosmetik dan lakonan semata-mata.
Ini adalah kerana semua cadangan dan bantahan daripada pelbagai pihak termasuk wakil polis tidak diambil kira atau dimasukkan ke dalam cadangan daripada jawatankuasa tersebut.

Pembangkang terus berpendirian bahawa pasukan polis yang berjumlah hampir 150,000 telah menyumbang dan berkorban untuk rakyat dan negara dan mereka perlu disokong, bukan ditindas oleh undang-undang.

Malah, blok pembangkang terus menanam iltizam dan perjuangan untuk terus mempertahankan hak dan kebajikan polis!

Kita berjanji akan terus membantah dan menolak RUU IPCMC ini jika pihak kerajaan membentangkan semula RUU IPCMC di parlimen pada sesi akan datang.

Hidup PDRM, Hidup Rakyat!

#bubarparlimen

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob
Ketua Pembangkang Parlimen Malaysia
Naib Presiden UMNO
Ahli Parlimen Bera


Tinggalkan Balasan

Your email address will not be published.