KUALA LUMPUR, 12 Mac – Ahli Parlimen Pontian, Datuk Seri Ahmad Maslan hari ini dilantik sebagai Setiausaha Agung parti yang baharu, menggantikan Tan Sri Annuar Musa yang telah dilantik sebagai Menteri Wilayah Persekutuan.
Manakala, Naib Ketua Pemuda UMNO, Shahril Sufian Hamdan pula dilantik sebagai Ketua Penerangan UMNO yang baharu menggantikan Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Dr. Shamsul Anuar Nasarah.
Presiden UMNO Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dalam satu kenyataan media berkata, Penolong Setiauasaha Pemuda UMNO Malaysia Mohd Rais Mohd Yasin pula dilantik sebagai Ahli Majlis Kerja Tertinggi yang baru.
Selain itu jelas Ahmad Zahid, UMNO menyokong Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin sehingga terbentuknya kerajaan baharu pada 1 Mac 2020 yang lalu adalah kerana suatu tanggungjawab moral untuk menyelamatkan negara dan rakyat daripada terus terbelenggu dengan krisis politik, lantaran terbubarnya kerajaan Pakatan Harapan (PH) apabila Tun Mahathir Mohamad meletakkan jawatan pada 21 Februari 2020.
“UMNO akan terus memberikan sokongan kepada kerajaan baharu pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin sehingga PRU ke-15 berasaskan beberapa panduan iaitu, Kerajaan baru ini harus memastikan aspirasi rakyat benar- benar direalisasikan”, katanya.
Kerajaan baru ini juga tegas beliau harus melaksanakan tanggungjawabnya dengan memberikan kemakmuran kepada semua rakyat tanpa mengira batasan kaum, agama, kenegerian dan darjat.
“Kerajaan baru ini juga harus segera berusaha menangani kelembapan ekonomi semasa termasuklah melakarkan pelan tindakan berkesan menghadapi cabaran ekonomi global dan kesan wabak Covid-19 dan Kerajaan baharu tidak sewajarnya mengulangi kesilapan yang dilakukan oleh kerajaan PH terdahulu dalam menguruskan isu- isu yang menyentuh sensitiviti hubungan kaum negara ini,” ujarnya. – UMNO ONLINE