PEKAN, 24 Jun – Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan mengingatkan kepada rakyat agar jangan dipadam rekod kegagalan Pakatan Harapan (PH) mentadbir dan mengurus negara ketika menjadi kerajaan selama 22 bulan.
Katanya, bukan sahaja negara berada dalam ‘gelap-gelita’ akibat kegagalan PH, malah kerajaan mereka runtuh akibat kegagalan parti-partinya berpakat dan perebutan jawatan perdana menteri.
“Akhirnya kerajaan itu jatuh akibat kezaliman yang mereka lalukan. 22 bulan agama dihina, raja dihina, jawi dihina, penjawat awam dihina…macam-macam perkara yang dihina oleh mereka.
“22 bulan harta Tabung Haji, macam-macam dijual secara borong, habis segala harta telah kita kumpul banyak. 22 bulan saham menjunam 350 mata hilang lebih kurang RM 400 ribu juta dalam masa 22 bulan. Kehancuran yang dibuat oleh Lim Guan Eng selaku Menteri Kewangan.
“Semua rakyat tahu apa yang saya sebutkan itu, cuma saya ingin mengingatkan kembali 22 bulan zaman gelap, zaman yang tiada harapan walaupun pada ketika itu mereka kerajaan Pakatan Harapan tetapi tiada harapan. Dan zaman itu kezaliman demi kezaliman mereka lakukan,” katanya ketika ceramah isu semasa sempena kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini di sini, Selasa malam.
Hadir sama Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Pahang, Datuk Seri Hasan Arifin yang juga Ahli Parlimen Rompin, Exco Kerajaan Negeri Pahang, Datuk Mohamad Fakhruddin Mohd Ariff dan juga calon BN, Mohd Sharim Md Zain.
Turut sama berceramah, Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Pahang, Mohd Farid Mohd Nor dan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Pekan, Datuk Mohd Nizar Najib.
Bidas Ahli Parlimen Pontian itu lagi, selain zalim kepada rakyat sehingga beribu orang hilang pekerjaan, PH juga membuat pendakwaan berpilih hingga berpuluh tuduhan terhadap Perdana Menteri Keenam, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan ramai pemimpin UMNO termasuk dirinya.
Menyentuh mengenai perkara lain yang disebut dalam ceramahnya, bekas Timbalan Menteri Kewangan itu berkata jasa Perdana Menteri Kedua, Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein dalam mewujudkan tanah rancangan Felda amat besar.
Jelasnya, selain berjaya menyelamatkan lebih seratus ribu keluarga dari belenggu kemiskinan, modul Felda juga menjadi contoh seluruh dunia dan visi tersebut disambung oleh Najib.
“Najib mahu menjadikan Felda satu kuasa ekonomi baru dalam negara kita. Felda ini kata Pengerusi Felda yang baharu, Datuk Seri Idris Jusoh sebagai ‘lombong emas’ sama ada individu itu berpotensi mahu dibangunkan atau tanah itu sendiri.
“Ketika Datuk Najib menjaga Felda, macam-macam perubahan yang dibuat…supaya Felda ini menjangkau bukan hanya dalam negara tetapi sehingga ke seluruh dunia. Anak-anak peneroka dihantar untuk belajar sehinggalah belajar membaiki kapal terbang,” tambahnya.
Ujarnya lagi, inspirasi Najib ketika itu adalah mahu menjadikan masyarakat Felda yang majoritinya orang Melayu menjadi contoh yang terbaik bagi masyarakat luar bandar.
Selain itu katanya, pembangunan kampung tradisi dan masyarakat Orang Asli juga diberi perhatian yang khusus oleh Najib.
Dalam sesi ceramah tersebut, Calon BN, Mohd Sharim yang juga generasi kedua Felda turut memperkenalkan diri dan menyeru pengundi-pengundi di kawasan DUN Chini memilihnya di mana beliau bertekad akan memikul tanggungjawab dan amanah dengan sebaik mungkin.
Ceramah malam tadi merupakan siri pertama ceramah kempen di PRK DUN Chini yang dianjurkan oleh BN dengan mematuhi garis panduan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) yang ditetapkan oleh pihak berkuasa seperti dibuat di tempat tertutup dengan had jumlah kehadiran, kehadiran dicatit, penjarakan sosial dan sanitasi diri hingga menjadi tumpuan ramai kehadiran dari pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan pasukan pemantau Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR). – UMNO ONLINE