KUALA LUMPUR, 5 Jun – Ketua Penerangan UMNO Shahril Hamdan mengingatkan jentera parti agar tidak leka dengan kemenangan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini sebaliknya berwaspada dan menginsafi bahawa ianya langkah kecil ke arah ‘peperangan’ yang sebenarnya.
“Ini satu kepercayaan oleh rakyat Dun Chini… tetapi sama ada ianya mencerminkan kawasan lain dalam negara sama ada ini kemenangan PRK yang boleh diteruskan pada Pilihan Raya Umum (PRU)… itu dua persoalan yang saya tidak berani jawab sekarang.
“Sebab apa kita tidak mahu mengulangi perasaan atau rasa terlalu yakin yang pernah kita buat sebelum PRU-14 dengan kemenangan PRK dengan bergaya dan sebagainya tetapi tidak diterjemahkan pada PRU.
“Jadi hari ini saya ambil nada lebih bersyukur dan terima kasih kepada jentera dan rakyat Chini tetapi ini bukan menjadi satu isyarat automatik bahawa kita akan menang besar esok. Jangan kita ambil pendirian sebegitu,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada UMNO-Online sejurus keputusan rasmi PRK DUN Chini diumumkan.
BN mempertahankan kerusinya dengan menang besar dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini dengan majoriti sebanyak 12,650 undi.
Calon BN, Mohd Sharim Md Zain memperolehi undi sebanyak 13,872 undi dan calon Bebas yang menggunakan logo rumah, Datuk Tengku Zainol Hisham Tengku Hussin mendapat 1,222 undi.
Manakala seorang lagi calon Bebas, Mohd Shukri Mohd Ramli yang menggunakan lambang kunci, hilang wang deposit apabila hanya mampu meraih 137 undi.
Peratus keluar mengundi adalah sebanyak 74 peratus.
Shahril turut melihat penyelarasan yang cukup baik pelbagai peringkat parti sepanjang kempen berlangsung sehingga ke hari pembuangan undi.
“Kepada jentera saya amat berterima kasih. Saya kira penyelasan antara pusat dan negeri dan bahagian cukup tersusun dan segala isu serta tohmahan yang dilontarkan terhadap kita berjaya kita terangkan dan kita tepis.
“Alhamdulillah semua ini boleh berlaku jika digemblengkan tenaga jentera dari setiap peringkat. Jadi saya rasa ucapan terima kasih kepada jentera dan kepada pengundi terima kasih kerana memilih Mohd Sharim Md Zain,” ujarnya. – UMNO Online