LIBARAN, 11 Sept – Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, dua tahun rakyat Sabah tersiksa di bawah pentadbiran Warisan/Pakatan Harapan (PH) dan kini adalah masa terbaik untuk rakyat ubah balik pucuk pimpinan negeri pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah 26 September ini.
Jelas beliau, kerana itulah rakyat Sabah harus bijak memilih agar nasib rakyat ini akan dapat dibela dengan lebih baik.
“Dua tahun tersiksa… apa yang kita lihat sepanjang dua tahun jadi pembangkang? Adakah kerajaan sekarang peduli kepada kita? Adakah jalan Pan Borneo diteruskan? Adakah bantuan orang miskin diteruskan? Tidak mengapa… ini ujian.
“Nanti bila sudah ada Ketua Menteri baru, saya percaya beliau akan jadikan Sabah cemerlang semula,” ujar beliau.
Ahmad Zahid berkata demikian dalam perjumpaan bersama jentera di Parlimen Libaran, hari ini.
Selain itu, Ahmad Zahid juga berkata, tindakan UMNO hanya bertanding 32 kerusi adalah atas kesefahaman yang dicapai menerusi gabungan parti dalam BN dan Muafakat Nasional (MN).
“Kita tidak tamak macam ada parti itu yang bertanding di 72 kerusi tapi insya-Allah kita mampu menang semua kerusi itu.
“Tapi untuk menang kena ada usaha. Jadi, saya berharap semua pihak berilah kerjasama yang baik kepada Pengerusi BN Sabah, Datuk Seri Bung Moktar. Ada sebab kenapa kita pilih beliau sebagai Pengerusi dan Ketua UMNO Sabah… kerana beliau seorang pemimpin yang taat kepada UMNO.
“Walaupun beliau ditekan, difitnah dan dihina, beliau tidak pernah lari. Inilah kebanggaan kita di Sabah. Kerana itu jugalah kita jangan tinggalkan beliau keseorangan. Bung tidak akan berjaya tanpa ADUN, Wanita, Pemuda, Puteri dan semua, untuk kuatkan pemimpin, kena ada pengikut dan sebagaimana Bung setia kepada UMNO, begitulah kita setia kepada beliau,” tegas Ahmad Zahid.
Turut hadir dalam perjumpaan tersebut ialah Ketua Pengerusi BN Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin; Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan dan bakal-bakal ADUN di Parlimen tersebut.