UMNO Kekal Teguh Pendirian Junjung Titah Agong, Konsisten Rekonsiliasi Nasional Demi Negara

KUALA LUMPUR, 30 Okt – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memaklumkan bahawa UMNO terus kekal fokus dan konsisten dengan kenyataan yang dikeluarkan sebelum ini iaitu berpegang teguh kepada peri pentingnya gencatan politik dan rekonsiliasi nasional demi mendepani wabak Covid-19, menjaga kebajikan rakyat, keamanan negara dan kestabilan politik.

Beliau berkata demikian dalam kenyataan media yang dikeluarkan selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, malam tadi.

Berikut kenyataan penuh:

1. UMNO terus kekal fokus dan konsisten dengan kenyataan yang sudah berkali-kali dikeluarkan tentang peri pentingnya Gencatan Politik dan Rekonsiliasi Nasional demi mendepani wabak Covid-19, menjaga kebajikan rakyat, keamanan negara dan kestabilan politik.

2. UMNO juga ingin mengulangi dengan jelas sekali lagi bahawa kami menjunjung titah KDYMM Seri Paduka Baginda yang di-Pertuan Agong dan Majlis Raja-Raja Melayu untuk terus memastikan pentadbiran negara diurus dengan baik berpandukan keluhuran undang-undang dan menghormati semangat yang termaktub di dalam Perlembagaan Negara dan tidak membawa negara ke dalam darurat sebagaimana yang telah dicadangkan oleh pihak kerajaan.

3. UMNO memperhalusi pelbagai pandangan dan harapan rakyat mengenai Belanjawan 2021 untuk diangkat kepada Kerajaan termasuklah isu perlanjutan tempoh moratorium, bantuan sara hidup kepada rakyat yang hilang punca pendapatan akibat Covid-19, bantuan kepada belia yang menganggur, bayaran khas kepada barisan hadapan (frontliners) dan beberapa inisiatif untuk meningkatkan pengembangan ekonomi negara. Lantaran itu, UMNO akan memastikan Belanjawan 2021 yang bermanfaat untuk rakyat dapat diluluskan.

4. Maka sebarang tindakan mana-mana pihak yang mempersoalkan keputusan UMNO dalam mendokong titah KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan Majlis Raja-Raja Melayu adalah tidak bertanggungjawab dan amat dikesali. Sekiranya pendirian UMNO dalam perkara ini masih dipersoalkan, UMNO tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas demi untuk menjaga kedaulatan Raja-raja dan kepentingan rakyat.

5. UMNO adalah sebuah parti yang dasar-dasarnya sentiasa memberikan keutamaan kepada agenda rakyat. Maka, semua anggota Kabinet yang mewakili UMNO terus kekal dalam Kerajaan dan beriltizam untuk terus menjaga kebajikan rakyat dan mempertahankan maruah parti.

6. UMNO memutuskan agar mandat rakyat dikembalikan bagi mengujudkan Kerajaan yang stabil dengan mengadakan Pilihan Raya Umum setelah Pandemik Covid-19 dapat dikawal dan berada di peringkat minimum. – UMNO Online

[gview file=”https://umno.org.my/wp-content/uploads/2020/10/KENYATAAN-MEDIA-29-OKT-2020-1.pdf”]