“Berapa ramai rakyat terjejas sebab COVID-19 yang perlukan KWSP (Kumpulan Wang Simpanan Pekerja)? Lebih empat juta orang atau sekitar dua juta orang?
Demikian persoalan yang ditimbulkan oleh Ahli Parlimen Pontian, Datuk Seri Ahmad Maslan di dalam ciapannya di Twitter pagi ini.
Justeru Ahmad yang juga Setiausaha Agung UMNO menuntut perjelasan daripada Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dan KWSP mengenai perkara demikian.
Katanya lagi, statistik dari KWSP menunjukkan ahli yang aktif adalah seramai 7,626,272 orang dan pencarum yang keluar i-Lestari dari Akaun 2 4.8 juta orang manakala i-Sinar (Akaun 1), KWSP menganggarkan hanya memberi manfaat kepada dua juta ahli.
Untuk rekod, kelmarin KWSP dalam satu kenyataan memperkenalkan kemudahan akses simpanan Akaun 1, i-Sinar yang akan memberi manfaat kepada dua juta ahlinya yang kehilangan pekerjaan, diberi cuti tanpa gaji atau ketiadaan pendapatan bersandarkan kepada beberapa kategori dan syarat seperti bagi ahli yang mempunyai simpanan dalam Akaun 1 bawah RM90,000 dan melebihi amaun tersebut.
Manakala pada Mac lalu, kerajaan mengumumkan kemudahan pengeluaran caruman Akaun 2 KWSP, i-Lestari sebanyak RM500 sebulan selama 12 bulan membabitkan pencarum bawah usia 55 tahun, berkuat kuasa 1 April bagi membantu meringankan beban ditanggung rakyat.
Sebelum ini, UMNO dan Barisan Nasional (BN) secara konsisten menggesa kerajaan Persekutuan agar pembayaran sekaligus diberikan kepada pencarum KWSP berbanding secara berperingkat dan melanjutkan moratorium secara automatik sehingga Jun tahun hadapan bagi membantu rakyat mendepani kesukaran hidup akibat pandemik COVID-19.
18 Nov 2020