Kerajaan PN Mesti Kekal Di Perak

UMNO berpendirian bahawa kerajaan Perikatan Nasional (PN) di Perak mestilah dikekalkan.

Demikian tegas Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Ahmad Maslan mengulas mengenai situasi politik terkini di negeri tersebut dalam satu kenyataan media, di sini hari ini.

“Semua barisan EXCO Kerajaan Negeri juga mesti diteruskan.

“UMNO juga berpendirian bahawa PPBM dan PAS harus bersama mendokong Kerajaan PN Negeri Perak,” ujar Ahmad yang juga Ahli Parlimen Pontian.

Tambah Ahmad, undi percaya yang berlaku pada hari ini hanya melibatkan jawatan Menteri Besar Perak sahaja tanpa mengubah status kerajaan negeri.

Pagi tadi, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu gagal memperoleh sokongan majoriti ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dalam usul ‘keyakinan majoriti ahli Dewan terhadap menteri besar’ (undi percaya) yang dikemukakan pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak.

Dalam undi sulit terhadap usul itu, Ahmad Faizal yang juga ADUN Chenderiang hanya menerima 10 undi menyokong beliau sebagai menteri besar, manakala 48 tidak menyokong dan satu berkecuali.

[gview file=”https://umno.org.my/wp-content/uploads/2020/12/KENYATAAN-MEDIA-SUA-4-DIS.pdf”]