PONTIAN, 3 Jan – Demi kestabilan politik negara, pilhan raya umum ke-15 (PRU-15) perlu segera diadakan, syor Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan.
Ini kerana katanya, kerajaan Perikatan Nasional (PN) kini adalah sebuah kerajaan yang mempunyai majoriti paling tipis di dunia dan vaksin COVID-19 telah dijumpai serta bakal diperolehi oleh negara.
“Oleh kerana kerajaan PN mempunyai majoriti paling tipis di dalam dunia. Untuk menjadi kerajaan kena ada 112 dan kerajaan ini cuma ada 112. Oleh itu kita mengesyorkan agar diadakan pilihan raya umum secepat mungkin.
“Sebab kedua ialah kerana vaksin COVID-19 telah ada dan kita akan divaksinkan pada bulan hadapan. Saya harap vaksin itu diawalkan lagi bagus. Jadi atas dua sebab itu saya kira eloklah kestabilan politik dikembalikan dalam negara kita dan kita harap bukan 111 campur satu lagi, apabila lepas pilihan raya 111 campur 40 atau campur 50 supaya kerajaan ini stabil.
“Dan jangan jadikan COVID-19 sebagai alasan untuk kita menunda-nunda apa yang sepatutnya dilakukan. Apabila telah sampai vaksin tidak ada lagi alasan untuk menjadikan COVID-19 halangan untuk pilihan raya umum,” kata Ahli Parlimen Pontian itu kepada UMNO Online.
Ahmad yang juga Timbalan Ketua UMNO Bahagian Pontian sebelum itu merasmikan Mesyuarat Perwakilan Pemuda UMNO Bahagian di Dewan Orang Ramai Ayer Baloi, di sini hari ini.
Seterusnya, Ahmad juga menegaskan bahawa kestabilan politik penting untuk pengukuhan ekonomi negara.
“Sebelum ini segala pelabur yang datang ke Malaysia ini meletakkan kestabilan politik sebagai sebab utama mereka datang. Sekarang ini Malaysia tidak ada lagi kestabilan politik sebab mereka (pelabur) keluar dari tempat kita atau mereka tidak singgah langsung pun di Malaysia.
“Mereka pergi ke rantau kita yang politiknya jauh lebih stabil dari kita,” katanya lagi.
Mengenai usaha UMNO dan Barisan Nasional (BN) ke arah memenangi PRU, Ahmad berkata semua pihak dalam parti hendaklah melipat-gandakan lagi usaha.
“Kita telah memaklumkan kepada pemimpin-pemimpin utama di bahagian supaya bersedia menghadapi PRU enam bulan yang lepas. Sebahagian daripada mereka mengambil serius tentang apa syor yang kita sebut dan kawasan yang UMNO tidak bertanding mungkinlah tidak serius untuk mereka membuat persiapan tetapi kawasan-kawasan UMNO dan BN akan bertanding pastinya kita inginkan kemenangan. Oleh itu pemimpin-pemimpin yang terlibat hendaklah melipat-gandakan usaha,” ujarnya.
Manakala berhubung dengan perjalanan Mesyuarat Perwakilan UMNO bahagian bagi empat peringkat yang diadakan serentak bermula Jumaat lalu hingga hari ini, Ahmad berkata setakat ini semuanya berjalan baik dan lancar serta parti tiada halangan bagi akar umbi menyatakan segala bentuk usul dan cadangan.
“Usul akan dibawa ke Majlis Kerja Tertinggi jika ia melibatkan parti. Kemudian, jika melibatkan kerajaan, akan menulis surat kepada kementerian. Katalah ada satu usul supaya vaksin COVID-19 hendaklah diberikan kepada 100 peratus rakyat Malasyia dan hendaklah dimulakan pada Jan bukan Feb. maka saya akan ambil usul itu dan hantar kepada Menteri Kesihatan untuk diambil perhatian.
“Dua tahun sebelum ini kita tidak hantar sebab kita pembangkang mereka kerajaan, mungkin mereka tidak akan ambil perhatian pun terhadap usul itu. Tapi oleh sebab sekarang ini kita sebahagian dari kerajaan tentunya kementerian-kementerian akan mengambil perhatian dan tindakan terhadap usul-usul yang baik,” tambahnya lagi.
Begitu juga katanya, Majlis Kerja Tertinggi pada 6 Jan nanti akan membincangkan usul-usul yang dibawa oleh bahagian-bahagian dan sebahagian usul itu tentunya mempercepatkan PRU-15. – UMNO ONLINE