PASIR GUDANG, 2 Jan – Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin mengajak semua perwakilan UMNO untuk kembali kepada realiti yang sebenar dan berpijak di bumi nyata untuk membangunkan ketumbukan politik yang bukan sahaja sederhana dan progresif, tetapi juga inklusif.
Katanya, sekali pun UMNO adalah dalam kerajaan memerintah, namun ujian sebenar parti menanti di medan pilihan raya akan datang.
“Kenapa saya mengajak perwakilan untuk berpijak di bumi yang nyata ini dan memahami realiti sebenar kedudukan politik semasa? Sebabnya hanya satu… kerana saya tidak mahu wujudnya sikap sombong dalam diri kita. Sikap lupa daratan. Sikap tuan yang senantiasa hebat, dan yang tidak berkesudahan.
“UMNO perlu kembali kepada asasnya. Kembali menjadi jurucakap bangsa. Kembali menjadi parti yang diyakini bangsa. Kembali menjadi pusaka hati bangsa,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Pasir Gudang di Amansari Residence Resort Bandar Seri Alam.
Katanya, UMNO mesti mesti menjadi parti kebangsaan yang memperjuangkan politik pertengahan dan kesederhanaan.
“Bersifat sederhana dan berpendirian sederhana itu memang telah menjadi DNA UMNO. Masakan UMNO mampu selama enam dekad, menjadi parti induk BN jika ia bukan sederhana dalam pendirian dan tindakannya.
“Selama berpuluh tahun, pelbagai parti politik dengan pelbagai ideologi dan fahaman, dari seluruh pelosok negara, kita gemblengkan untuk bekerjasama bagi mengurus tanahair ini dengan aman dan berjaya.
“Mereka yakin dengan formula UMNO. Tetapi yang lebih penting, mereka yakin dengan pendirian UMNO, walaupun sebagai parti kebangsaan tetapi tegar dengan sikap yang sederhana dan ideologi konservatif yang progresif.”
Tegasnya, UMNOlah pelopor politik permuafakatan dengan pendirian sentris kerana rekod UMNO tidak boleh disanggah.
“Sepanjang UMNO memerintah, jalan politiknya adalah hikmah. Mengiktiraf hak dan keperluan semua. Menolak politik ras dan agama yang ekstrem atau melampau.
“Kerana hikmah kesederhanaan inilah, pelbagai bangsa hidup dengan rukun dan damai di tanah air kita. Tiada sekali pun UMNO dan BN membenarkan konflik perkauman tercetus, kecuali peristiwa 13 Mei yang semua orang tahu, bukan dimulai oleh orang Melayu,” katanya.
Sehubungan itu katanya, anggota parti diseru melancarkan ikhtiar memerangi segala bentuk ‘kejahilan’ dan politik ekstrim serta ultra, yang dipelopori oleh mereka yang sempit fikrah dan tertutup mindanya malah UMNO mesti menjauhkan diri dari mereka yang ingin memesong UMNO dengan politik sempit, dangkal dan jahil.
“Kita tidak akan sama sekali lupa pada tanggungjawab kita untuk bangsa Melayu. Kita semua lahir, membesar dan dewasa dalam persekitaran UMNO dan perjuangan Melayu. Lalu tanggungjawab mengupayakan Melayu itu adalah sesuatu yang bersifat asas, rukun dan dasar dalam agenda kehidupan kita.
“Marilah kita berazam untuk melipatgandakan usaha ini semua dengan penuh keadilan. Mengukuhkan pengaruh dan kedudukan Melayu bukan bermakna menafikan hak dan kepentingan bangsa lain. Atas sebab itu UMNO akan terus mempertahankan BN,” katanya lagi. – UMNO Online