PdP: Kerajaan Perlu Dengar Rintihan Ibu Bapa

HARI ini hari kedua anak-anak kita menjalani sesi Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) secara atas talian di rumah.

Namun banyak rungutan saya terima semalam iaitu hanya selepas sehari ia mula dilaksanakan di seluruh negara.

Ramai mengadu di Facebook saya tentang kekangan dihadapi ibu bapa bagi membantu anak-anak mengikuti PdP secara maya.

Kekangan paling banyak diketengahkan adalah gajet tidak mencukupi untuk ibu bapa yang mempunyai ramai anak.

Kekangan kedua komputer riba atau telefon bimbit yang mereka ada untuk digunakan anak-anak spesifikasi lama.

Kekangan ketiga masalah jaringan internet terutama bagi keluarga yang menetap di kawasan pendalaman.

Rungutan ini masih timbul disebalik pengumuman pelepasan cukai khas sehingga 2,500 ringgit ke atas pembelian telefon bimbit,
komputer dan tablet serta pemberian percuma data 1 Gigabit.

Mungkin kerana pengumuman itu masih belum dapat membantu sepenuhnya mereka dalam berhadapan kekangan tersebut.

Apa yang pasti, para ibu bapa ini dalam dilema. Dibelenggu kerisauan. Tiada ibu bapa mahu lihat anak mereka ketinggalan dalam pendidikan.

Permasalahan ini pernah ditimbulkan rakyat semasa PKP 1.0, tetapi tiada penyelesaian secara total sebelum PKP 2.0 dilaksanakan.

Beberapa hari lalu saya sendiri ada bangkitkan semula kebimbangan ini, namun tiada sambutan daripada pihak berwajib.

Dalam posting itu saya sertakan cadangan kaedah tambahan untuk memudahkan anak-anak kita mendapat akses pendidikan.

Saya cadangkan salah satu saluran televisyen milik kerajaan digunakan sepenuhnya untuk tujuan pembelajaran anak-anak.

Slot siaran boleh dibahagikan mengikut matapelajaran dan subjek teras untuk murid tahun 1 hingga 6 serta pelajar tingkatan 1 hingga 5.

Pelajar dikehendaki mengikut jadual masa pembelajaran yang ditentukan KPM melalui saluran pendidikan di televisyen itu.

Mohon jangan ambil mudah keluhan ibu bapa ini. Anak-anak mereka juga berhak mendapat pendidikan yang sewajarnya.

Jika cadangan saya itu ada kewajarannya, saya pohon pihak berwajib teliti kesesuaiannya.

Andai bermanfaat laksanakanlah. Pejam mata sahaja cadangan ini dari saya jika ia dapat membantu.

Andai cadangan ini kurang manfaat, carilah jalan lain untuk membantu ibu bapa serta anak-anak ini.

Negara perlukan generasi berilmu.

#DemiAnakBangsa
#PdPR2.0
#NoOneLeftBehind

Ahmad Zahid Hamidi
Presiden UMNO