KUALA LUMPUR, 8 Feb – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menganggap pelaksanaan PKP 2.0 boleh dikatakan kurang berkesan kerana rakyat disajikan dengan laporan harian yang mencecah ribuan kes.
Sehubungan itu, katanya, kerajaan wajar melihat semula kepada pelaksanaan PKP 1.0 yang dilihat lebih efektif dan bantu rakyat supaya dapat kekal tenang di rumah beserta bantuan yang sewajarnya tanpa meruntuhkan ekonomi.
“Ada yang berpandangan pelaksanaan PKP 2.0 seperti ‘telur separuh masak’. Kurang ‘political will’ dan ‘double standard’ pada sektor perniagaan tertentu.
“Sekejap ketat sekejap longgar. Macam iklan biskut ‘Chipsmore’, sekejap ada sekejap tak ada.
“Kita tahu sektor yang menyumbang peningkatan kes harian COVID-19 dibenarkan beroperasi, tetapi sektor lain ditarik ibarat tali layang-layang,” katanya dalam kenyataan menerusi laman facebooknya.
Sebagai contoh katanya, media melaporkan tentang kesukaran ditanggung sebahagian pengusaha restoran apabila mereka terpaksa terus berniaga walaupun perniagaan merundum teruk sehingga 90 peratus dan ada yang mengalami kerugian mencecah ratusan ribu ringgit sedangkan modal berniaga restoran bukan sedikit.
“Saya percaya mereka jika boleh mahu duduk tenang di rumah seperti dipinta kerajaan, tetapi mereka seperti peniaga lain tidak banyak dibantu untuk berbuat demikian.
“Demi ‘survival’, mereka terus beroperasi dalam keadaan COVID-19 dan pasaran yang lembab.
“Jika ada moratorium penuh dan pengeluaran KWSP tanpa syarat pasti melegakan. Tetapi apakan daya ‘Banker Jaga Banker’.”
Ujarnya, dengan ketiadaan pengunjung, pengusaha berdepan kepayahan membiayai kos operasi, gaji pekerja dan bermacam lagi.
“Pengusaha ketika ini hanya mahu bertahan tetapi sukar. Mereka boleh beroperasi, namun jumlah pelanggan datang membungkus makanan tidak seberapa. Lagipun, pelanggan lebih cenderung membeli makanan daripada penjaja. Mahu menyalahkan peniaga jalanan tidak boleh kerana mereka juga mencari rezeki.
“Dalam keadaan ini, lebih elok jika pelanggan dibenarkan makan di kedai dengan SOP seketat-ketatnya. Satu meja mungkin seorang atau dua orang.
“Jika masih tidak mahu membenarkan pelanggan makan di restoran, kerajaan perlu memikirkan bantuan sewajarnya supaya pengusaha dapat bertahan,” katanya lagi yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN). – UMNO Online