Dua alternatif dalam berhadapan jangkitan pandemik Covid-19 yang tinggi:
Pertama buat “Full PKP”. Kerajaan dan bank beri bantuan kewangan kepada rakyat. Minta rakyat kekal tenang di rumah untuk tempoh masa tertentu.
Kes harian jangkitan Covid-19 dapat dikurangkan segera. Darurat pun dapat ditamatkan segera. Sektor ekonomi dibuka semula, tetapi dengan SOP ketat untuk terus melandaikan lengkung jangkitan. Kemudian baru kita lihat kepada keberhasilan program vaksinasi.
Kedua buat “Half PKP”. Kerajaan dan bank kurang beri bantuan kewangan kepada rakyat. Namun rakyat diberi kelonggaran ke sana sini untuk bekerja dan menyara hidup walaupun ancaman wabak masih tinggi.
Kes Covid-19 mungkin tidak dapat dikurangkan segera. Darurat pun tidak tahu bila dapat ditamatkan. SOP yang kurang ketat melambatkan usaha melandaikan lengkung jangkitan Covid-19. Kita bergantung sepenuhnya kepada keberkesanan vaksin nanti.
Bagaimanapun, kenyataan WHO kelmarin bahawa vaksin sedia ada mungkin kurang berkesan terhadap varian baharu Covid-19 menimbulkan persoalan tentang keberkesanan alternatif kedua dalam membebaskan segera rakyat daripada ribuan kes jangkitan sehari.
Sebab itu sejak awal saya konsisten dengan cadangan yang menjurus ke arah alternatif pertama. Bagaimanapun keputusan pihak yang berwajib kelihatan lebih terarah kepada alternatif kedua.
Sebab itu juga saya kerap menyuarakan keluhan rakyat yang terpaksa hidup dengan alternatif kedua – yang menyebabkan mereka masih perlu keluar rumah untuk menyara hidup walaupun dalam keadaan pasaran yang lembab dan jangkitan masih mencanak.
Apa yang boleh kita lakukan dalam situasi hari ini ialah dengan berusaha menjaga diri sebaik mungkin mengikut SOP yang ditetapkan dan banyakkan berdoa memohon perlindungan kepada Allah agar terpelihara dari wabak covid-19 ini.
Hanya kepada Allah kita menyembah dan kepadaNya jualah kita memohon pertolongan…
#dilemarakyat
#jagadirijagakeluarga
#doausahatawakal
Dato’ Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi
Presiden UMNO