KUALA LUMPUR, 26 Ogos – Sempena hari ulang tahun penubuhan Pergerakan Pemuda UMNO yang ke-72 pada hari ini, beberapa pemimpin parti menerusi platform media sosial menitipkan beberapa ucapan tahniah dan juga nasihat serta paduan buat pendukung sayap parti itu.
Antaranya seperti Naib Presiden UMNO Datuk Seri Mahdzir Khalid yang berkata Pemuda UMNO adalah tunjang kepada barisan pelapis kepimpinan dan masa depan negara.
“Dalam era serba mencabar kini, Pemuda UMNO perlu menjadi teras kebangkitan perjuangan untuk agama, bangsa dan negara.
“Pemuda UMNO juga perlu membina iltizam, kekuatan, kesepaduan, kejituan dan kesepakatan dalam setiap gerak langkahnya agar menjadi cerminan kepada teras perjuangan parti keramat UMNO sejak sekian lama,” kata Ahli Parlimen Padang Terap itu.
Begitu juga bagi Ketua Penerangan UMNO Malaysia yang juga Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia Shahril Hamdan yang berharap agar Pemuda kekal menjadi kekuatan benteng hadapan parti di samping memacu perjuangan UMNO yang sentiasa disesuaikan dengan tuntutan zaman.
Tidak ketinggalan bekas Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein yang mendoakan agar Allah SWT memberkati perjuangan sayap parti itu demi bangsa, agama dan tanah air.
Seterusnya bagi Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO dan juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Selangor Tan Sri Noh Omar turut mengucapkan selamat ulang tahun penubuhan Wanita pada semalam dan hari ini bagi Pemuda UMNO Malaysia dan skuad Sabil.
“Tidak boleh dinafikan peranan mereka sebagai pendokong perjuangan parti keramat UMNO sangat berkesan. Mereka berada di atas dan di bawah tidak kira masa dalam membantu rakyat.
“Dari mereka juga lahirnya pemimpin-pemimpin ulung UMNO yang membawa kepada kemajuan dan keamanan kepada negara kita,” katanya yang secara peribadi mengakui peranan sayap-sayap UMNO di kawasannya di Tanjong Karang juga antara faktor beliau masih menjadi Ahli Parlimen sehingga sekarang.
Noh juga mengucapkan terima kasih atas jasa bakti dalam perjuangan parti keramat UMNO.
“Semoga UMNO terus kekal memayungi rakyat. Bersatu Bersetia Berkhidmat,” katanya.
Manakala bagi Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Kedah Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata Pemuda merupakan penyambung kepada sebuah perjuangan murni iaitu perjuangan UMNO untuk menyatukan bangsa.
“..berjuang habis-habisan agar setiap gerak langkah menjadi cerminan kepada teras perjuangan parti keramat UMNO sejak sekian lama,” katanya.
Bagi Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad berpendapat Pemuda ialah cerminan institusi kepimpinan masa hadapan, bagaimana digerakkan dan dicorakkan Pemuda hari ini begitulah gambaran masa hadapan negara.
Begitu juga seorang lagi Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO Datuk Seri Jalaluddin Alias bekata ketika Pemuda memasuki usia 72 tahun, sudah tentu ia penuh pengalaman dan sesuai untuk menjadi antara sayap terpenting parti terbesar umat Melayu yang kuat.
“Saya berharap lebih ramai pemimpin negara dan mungkin dunia suatu hari nanti akan lahir dari ‘kilang-kilang Pemuda’ ini. Semoga Allah SWT menaburkan keberkatan dalam perjuangan adik-adik Pemuda UMNO di seluruh negara.
“Terima kasih Pemuda UMNO Bahagian Jelebu kerana sentiasa setia dan berada bersama-sama saya dalam perjuangan ini. Semoga kepimpinan Pemuda UMNO yang ada pada hari ini dan masa akan datang akan dapat mencorakkan landskap politik yang lebih matang demi untuk kepentingan rakyat dan negara,” katanya yang juga merupakan produk Pemuda UMNO.
Manakala bagi Ketua Penerangan Badan Perhubungan UMNO Negeri Perak Datuk Zolkafly Harun berkata Pemuda UMNO adalah kilang melahirkan pemimpin-pemimpin masa hadapan negara.
“Dari Era Kapten Hussein Onn, Era Tun Abdul Razak dan Sekarang Era Dr Asyraf Wajdi dan Shahril Hamdan. UMNO Kondusif melahirkan pemimpin yang mempunyai idealisme rakyat didahulukan.
“Pemuda UMNO tidak hanya peka dengan perkembangan penerapan nilai-nilai Islam dan lain-lain yang berkaitan dengan rakyat malahan telah membawa Pemuda UMNO diterima dan berjaya menarik golongan intelek dan profesional muda Melayu untuk bergerak dalam Pergerakan Pemuda UMNO,” kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lintang itu. – UMNO ONLINE