Belanjawan 2020

KENYATAAN MEDIA
YANG BERHORMAT DATO’ DR. NORAINI AHMAD
AHLI PARLIMEN PARIT SULONG MERANGKAP
KETUA PERGERAKAN WANITA UMNO MALAYSIA
MENGENAI BELANJAWAN 2020

12 OKTOBER 2019

1. Perbentangan Belanjawan 2020 merupakan sesuatu yang dinantikan oleh seluruh rakyat Malaysia. Ini kerana, ia merupakan perbentangan Belanjawan yang istimewa kerana melibatkan perancangan perbelanjaan Kerajaan pada tahun yang kita tunggu-tunggu sejak pengenalan Wawasan 2020 pada 1991 lalu.

2. Ketika itu, perancangan serta inisiatif Kerajaan semuanya terarah kepada Wawasan 2020. Kita sasarkan untuk menjadi negara yang lebih maju berbanding sebelum ini. Atas sebab itu, Belanjawan kali ini dinanti-nantikan rakyat yang mengharapkan ada sesuatu yang luar biasa ditawarkan oleh Kerajaan kepada mereka.

3. Malangnya, sesuatu luar biasa yang diharapkan tidak kesampaian kerana apa yang diumumkan oleh Menteri Kewangan, YB Lim Guan Eng adalah perkara yang dianggap biasa. Tidak ada benda yang baharu dan mereka hanya meneruskan apa yang telah kerajaan terdahulu laksanakan. Saya yakin jika Barisan Nasional mentadbir Kerajaan, satu perbentangan Belanjawan yang lebih baik dan komprehensif akan dapat diumumkan.

4. Lebih menyedihkan, tuduhan demi tuduhan terhadap Kerajaan sebelum ini masih lagi menjadi antara topik perbentangan Belanjawan mereka. Meskipun, ada antaranya sedang dibicarakan di mahkamah malah ada juga istilah yang digunakan oleh Menteri Kewangan berbaur fitnah yang tidak dapat dibuktikan kesahihannya.

5. Antara perkara yang ‘dicedok’ daripada Kerajaan Barisan Nasional adalah peruntukan sebanyak RM500 juta yang diperuntukkan kepada Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan (SJPP) bagi menjamin kemudahan untuk usahawan wanita.

6. Kedua, penyediaan sebanyak 50 peratus geran padanan Kerajaan sehingga RM5,000 setiap perusahaan kecil dan sederhana (PKS) untuk menerima pakai langkah pendigitalan operasi mereka seperti sistem jualan elektronik.

7. Ketiga, peruntukan sebanyak RM10 juta kepada MDEC untuk melatih usahawan mikro-digital dan pakar teknologi memanfaatkan e-Pasaran dan platform media sosial untuk menjual produk mereka.

8. Keempat, dana sebanyak RM450 juta diperuntukkan kepada Khazanah Nasional untuk melaksanakan rangsangan digital untuk meningkatkan jumlah rakyat Malaysia, peniaga dan PKS menggunakan E-dompet.

9. Kesemua ini merupakan inisiatif yang telah pun dilaksanakan oleh Kerajaan Barisan Nasional sebelum ini. Ia sekali gus membuktikan bahawa Kerajaan Pakatan Harapan hari ini kekeringan idea atau terpaksa menerima hakikat bahawa formula pengurusan ekonomi Kerajaan sebelum ini adalah yang terbaik buat rakyat dan negara.

10. Tidak dapat kita nafikan bahawa inisiatif-inisiatif itu wajar untuk diteruskan. Cuma, seharusnya fikirkanlah idea yang lebih baru apatah lagi kerajaan baru sahaja memperkenalkan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030.

11. Selain daripada itu, inisiatif #WanitaKerja bagi menarik kembali lebih ramai wanita ke alam pekerjaan, Kerajaan seharusnya bukan sahaja menabur bantuan kewangan, ia seharusnya dilaksanakan secara holistik iaitu dengan memperkenalkan latihan kepada industri supaya dapat menyediakan suasana kerja yang mesra keluarga.

12. Ini sama dengan apa yang sedang dilaksanakan di Australia yang mana, Kerajaannya memberi latihan kepada industri ke arah itu bagi menggalakkan lebih ramai wanita kembali ke dunia pekerjaan. Ini sekali gus akan memberi keseimbangan kepada wanita dan juga pihak majikan supaya satu suasana yang kondusif di tempat kerja dapat diwujudkan.

13. Mengenai peruntukan sebanyak RM20 juta yang dipanjangkan kepada PERKESO dalm program i-Suri, ia merupakan satu inisiatif yang baik. Namun, pelaksanaanya harus diperjelaskan secara terperinci.

14. Begitu juga dengan sumbangan KWSP sebanyak dua peratus daripada akaun suami. Apakah mekanisme pelaksanaanya? Bagaimana pula dengan mereka yang berpoligami?

15. Perkara ini harus dilihat secara terperinci kerana kita tidak mahu ada kaum wanita yang tercicir daripada bantuan dan inisiatif ini. Perlulah kita pastikan belanjawan ini bersifat inklusif yang memberi manfaat kepada semua rakyat.

16. Apa pun saya mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan kerana meneruskan beberapa inisiatif baik yang telah dilaksanakan oleh Barisan Nasional sebelum ini walaupun mungkin tidak mahu mengakuinya. Tak mengapalah, kerana yang penting adalah rakyat mendapat manfaatnya.


Tinggalkan Balasan

Your email address will not be published.