Lim Guan Eng, Jangan Campur Tangan. Ini Soal Keselamatan Negara

KETEGASAN PDRM mesti diberikan pujian kerana soal keselamatan negara dan rakyat kita tidak boleh kompromi. Maknanya, tidak kira sesiapa jika disyaki atau dibukti melakukan kesalahan tindakan mesti diambil mengikut undang-undang yang ada. Rakyat dan negara mesti diutamakan.

Penahanan dua ADUN DAP, seorang daripadanya Exco Kerajaan negeri dan beberapa individu lain, kerana disyaki terlibat dalam gerakan pengganas global Tamil Eelam, (LTTE) adalah berita memeranjatkan. Ini bukan perkara ringan atau kes biasa.

Penahanan ini saya percaya tiada kaitan dengan isu perkauman atau mahu menekan mana-mana parti politik. Ini soal keselamatan.

Perkara ini mesti disiasat sedalamnya oleh pihak berkuasa, dan tindakan tegas mesti segera diambil. Ini kerana individu yang ditahan adalah mereka yang berpengaruh misalnya, Exco Kerajaan Melaka, G Saminathan, juga ADUN DAP Gadek, dan ADUN Seremban Jaya, P Gunasekaran, serta beberapa individu lain. Saya yakin mereka yang ditahan di bawah SOSMA oleh anggota PDRM tentunya selepas intipan dan siasatan rapi yang dibuat sekian lama.

Pastinya, pembabitan beberapa pemimpin DAP dalam gerakan ekstremis antarabangsa seperti pengganas LTTE, membimbangkan rakyat. Kita juga bimbang dengan tahap keselamatan rahsia negara. Mungkinkah ia dibocorkan kepada pihak-pihak berkepentingan di peringkat antarabangsa? Adakah segala perbualan, dan dokumen strategik negara kini tidak lagi selamat?

Segalanya kita serahkan kepada pihak PDRM. Namun persoalanya, apakah penahanan dua ADUN itu merupakan ‘tip of the iceberg’ kepada ramai lagi anggota atau pemimpin DAP yang terlibat dalam gerakan ekstremis kepengganasan? Kita harap PDRM bertegas, dan pimpinan DAP jangan menghalang atau menggunakan pengaruh tertentu untuk PDRM melaksanakan tugas mereka.

Kenyataan Lim Guan Eng (LGE) bahawa PDRM memberi jaminan bahawa tiada lagi pimpinan DAP akan ditahan memperlihatkan seolah-olah LGE mahu mencampuri urusan PDRM. PDRM diharap jangan takut dengan sebarang perkara kerana keselamatan negara amat penting.

Kita juga minta dan saya percaya rakyat Malaysia menuntut penjelasan dari DAP kerana isu LTTE ini melibatkan sebahagian pimpinan dan ahli mereka. Kita harap DAP tidak campur tangan dalam siasatan PDRM, ia juga suatu peluang DAP membuang semua pemimpin dan ahlinya daripada sebarang unsur keganasan. Jika DAP campur tangan ia akan dilihat seolah DAP tidak mahu isu ini diselesaikan dan ada sesuatu yang ingin dilindungi.

Persoalan penting yang perlu dijawab oleh Kerajaan PH, apakah Malaysia di bawah Malaysia Baharu kini menjadi sel atau negara satelit kepada aktiviti pengganas global?

YB DATO DR SHAMSUL ANUAR NASARAH
Ketua Penerangan UMNO Malaysia

11 Oktober 2019
#kerajaaansepenggal
#maluapabossku
#lenggong
#gerik
#dap


Leave a Reply

Your email address will not be published.Required fields are marked *