UMNO mengucapkan tahniah kepada wakil-wakil rakyat dari kalangan UMNO, MCA, MIC dan PAS yang dilantik menjadi Pengerusi atau ahli-ahli Lembaga Pengarah GLC, GLIC, suruhanjaya serta agensi dan institusi-institusi milik atau berkaitan kerajaan.
Pelantikan tersebut adalah suatu amanah dan tanggungjawab bagi memastikan semua syarikat, agensi dan institusi berfungsi melaksanakan semua agenda serta aspirasi kerajaan dalam memajukan negara dan ekonomi rakyat terbanyak.
Ini dapat memastikan keterlibatan langsung pemimpin parti-parti gabungan Muafakat Nasional dalam Kerajaan Persekutuan untuk memantau perlaksanaan dasar dan perjalanan operasi syarikat-syarikat, agensi serta institusi kerajaan supaya dapat terus memastikan kebajikan rakyat dipelihara.
Sememangnya tradisi Kerajaan BN sebelum ini yang memacu ekonomi negara serta membangunkan sosioekonomi rakyat melalui keterlibatan GLCs dan GLICs dalam banyak projek-projek serta perniagaan strategik terutamanya pembangunan infrastruktur.
Saya minta semua Pengerusi serta ahli-ahli lembaga pengarah wakil Muafakat Nasional supaya berkhidmat dengan amanah dan berdedikasi.
Sememangnya komposisi lembaga pengarah syarikat kerajaan terdapat wakil-wakil lantikan politik bagi tujuan perlaksanaan dasar dan aspirasi parti pemerintah, tetapi saya yakin bahawa anggota pengurusan kanan iaitu ketua-ketua eksekutif dan pengarah urusan tetap dilantik dari kalangan profesional berasaskan merit, kelayakan, pengalaman serta kesesuaian bidang tugas mereka.
Insya-Allah ahli-ahli lembaga pengarah (bukan eksekutif) dapat memberi dokongan serta menyumbang idea-idea yang baik kepada pasukan pengurusan profesional dalam menambah baik operasi syarikat-syarikat kerajaan.
Selamat maju jaya.
Dato’ Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi
Presiden UMNO