PELBAGAI tanggapan dan kesimpulan liar oleh pelbagai pihak merupakan asam garam dalam politik malah dalam keadaan yang boleh diumpamakan kaki kanan berada di dalam parti manakala kaki kiri di dalam kerajaan.
Inilah gambaran jelas betapa beban tugas yang cukup mencabar bagi Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang juga Menteri Kanan Pertahanan di dalam kabinet hari ini.
Kesimpulan yang beranggapan beliau banyak mengambil sikap berdiam diri serta tidak banyak bersuara sedangkan jawatannya sebagai Naib Presiden UMNO dan menteri kanan di dalam kerajaan adalah satu jawatan cukup tinggi ditangkis dengan penuh berhemah menerusi Wawancara Ekslusif bersama UMNO-Online.
Menurut Ismail Sabri, tanggapan sedemikian bukan sahaja tersasar malah sama sekali jauh merentasi apa yang dilaksanakan selama ini dan antara contoh yang mungkin sudah dilupakan adalah ketika presiden parti diserang serta dikecam agar meletakkan jawatan, maka beliau tampil antara yang awal mengeluarkan kenyataan agar diselesaikan secara dalaman.
“Sesetengah orang bersuara setiap hari sedangkan saya tidak sebegitu. Apabila ramai mengecam dan minta presiden letak jawatan sebelum ini, saya keluarkan kenyataan paling awal dengan mengatakan jangan kita serang presiden di luar. Kita ada ruang kita sendiri untuk bersama-sama mengemukakan pandangan. Jangan kita berkelahi di tepi laman kerana ia dilihat oleh orang ramai.
“Isu dalam kita selesaikan secara dalaman. Sebenarnya, apabila timbul dua kumpulan yang bertentangan susah saya… kalau saya masuk kumpulan ini ataupun kumpulan itu, maknanya saya menambahkan lagi peperangan. Tidak ada kumpulan yang benar atau tidak, apa yang penting saya lebih suka menjadi pendamai.
“Sepertimana yang saya katakan tadi saya tidak mahu tengok UMNO ini berpecah. Adalah lebih baik kita tutup atau pun menjadi pendamai untuk menyelesaikan isu yang timbul dan elakkan ianya menjadi lebih parah dan sebagainya. Walaupun masing-masing mempunyai pandangan tersendiri namun akhirnya parti adalah segala-galanya dan institusi yang perlu dijaga,” tegas beliau.
Dalam masa yang sama kata Ismail yang juga Ahli Parlimen Bera, imej yang dibawanya di dalam kabinet kerajaan hari ini adalah imej sebagai menteri daripada UMNO termasuklah beberapa menteri lain dalam melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan.
Tambahnya, tugas beliau untuk menjaga keselamatan serta kedaulatan negara selaku menteri pertahanan dan ancaman terdiri daripada dua jenis iaitu ancaman yang boleh nampak dan ancaman yang tidak boleh nampak.
“Yang saya nak tegaskan ialah ancaman sentiasa ada. Jadi ini merupakan satu tugas berat yang tidak boleh dikompromi… isu berkaitan keselamatan rakyat, mana mungkin boleh kompromi. Pada masa yang sama saya juga diberikan tugas satu lagi iaitu menjaga nyawa rakyat… COVID-19 ini pada peringkat awal dahulu semua orang takut…. tidak tahu apa benda punca dan ubat tidak tahu macam mana. Orang masih takut… musuh yang tidak nampak. Tugas diberi kepada saya jadi saya menjalankan tanggungjawab dan amanah yang besar ini.
“Sebab itu saya beri tumpuan kepada COVID-19 ini. Hari-hari bermesyuarat… buat sidang media keluar televisyen kerana mahu jaga nyawa rakyat. Orang UMNO seharusnya berbangga juga kerana sekurang-kurangnya setiap hari ‘muka UMNO’ ini keluar televisyen. Dahi saya adalah cop UMNO… Naib Presiden ke… Majlis Kerja Tertinggi ke, tidak kisahlah tetapi saya dilihat sebagai ini menteri daripada UMNO. Apa yang saya buat itu juga boleh memberikan imej yang baik kepada UMNO.
“Macam sekarang orang kata COVID-19 nampak gayanya menteri UMNO yang ke depan. Saya dulu jaga Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), jaga keselamatan… Datuk Seri Dr Adham Baba jaga dari segi kesihatan. Dua sahaja strategi untuk melawan COVID ini iaitu pertamanya strategi kesihatan maka Dr Adham dan yang keduanya keselamatan dari segi pematuhan SOP, kawalan dan sebagainya di bawah saya dan sekarang ini strategi ketiga iaitu strategi vaksin, Khairy Jamaluddin pula di depan bersama Dr Adham,” ujarnya.
Maka kesimpulannya jelas Ismail Sabri, walaupun diirinya tidak nampak sangat bercakap sangat soal parti tetapi imej parti sentiasa di bawa setiap hari.
“Orang akan bercakap, ooo… ini menteri UMNO… itu menteri UMNO. Saya tidak mahu komen lebih daripada itu takut nanti disalah tafsir dan ada orang akan kecil hati termasuklah parti-parti lain tetapi hakikatnya orang akan lihat bahawa peranan menteri UMNO itu sendiri,” tambahnya lagi.