MALAYSIA adalah sebuah negara Persekutuan yang mengamalkan sistem Raja Berperlembagaan dan Demokrasi Parlimen. Sistem ini mengangkat keulungan (Supremacy) Perlembagaan sebagai undang-undang tertinggi negara yang menentukan peranan dan tahap otoriti institusi di dalamnya baik di peringkat Pusat dan Negeri.
Melalui dokumen ulung inilah, Malaysia itu sendiri wujud dan diterima ramai sebagai sebuah negara merdeka dan berdaulat. Konsep ‘keulungan’ Perlembagaan itu sendiri menyerlahkan keupayaan Malaysia untuk meraih keyakinan dunia dan duduk sama tinggi, sama rendah dengan negara-negara berdaulat yang lain.
Dengan kata lain, Dokumen Perlembagaan Persekutuan ini juga boleh dilihat sebagai akujanji kita kepada dunia bahawa kita akan mengamalkan sistem demokrasi yang menjamin hak-hak politik individu dan seterusnya hak-hak lain seperti hak pemilikan aset dan lain-lain.
Dalam konteks ekonomi pula, Malaysia selaku sebuah negara ekonomi membangun dan ekonomi perdagangan terbuka perlu diyakini oleh masyarakat antarabangsa sebagai ahli komuniti global yang stabil dan bertanggungjawab.
Ini boleh dicapai dengan keikhlasan Malaysia di dalam mengangkat ‘keulungan’ undang-undang kita sendiri iaitu Perlembagaan Persekutuan.
Sejak Pakatan Harapan (PH) memerintah, Malaysia mula menampak tanda-tanda kejatuhan (decline) dalam pembangunan ekonominya.
Usaha yang yang sudah dirancang baik oleh Kerajaan Barisan Nasional (BN) sebelum ini mula dihentikan atau dipinda dengn drastik dan terburu-buru.
Regim cukai yang moden dan diakui global sebagai telus dimansuhkan bagi mengembalikan sistem percukaian yang menguntungkan ‘towkay-towkay’ besar samata.
Hal ini menyebabkan kewangan Kerajaan berhadapan dengan cabaran ‘kekurangan hasil, peningkatan perbelanjaan’ sehingga menyebabkan hutang negara dengan kadar sangat pantas dan mendadak serta mengkerdilkan rekod pinjaman era BN.
Perlaburan dalam projek infrastruktur rakyat berimpak tinggi ada yang dihentikan atas justifikasi yang meragukan. Bukan itu sahaja, apabila PH mencapatikan janji ‘reformasi’ untuk menambah baik Demokrasi, keyakinan yang masih ada menjadi semakin nipis dan menjadi risiko besar bagi mereka.
Keadaan ini sekaligus membawa kepada aliran keluar dana asing yang selama ini melabur puluhan billion ringgit dan mencipta kekayaan (wealth) di dalam negara, penurunan Perlaburan Langsung Asing (FDI) yang ketara berbanding negara jiran, amaran dari agensi penarafan kredit global dan pengakhiranya penguncupan ekonomi negara.
Lebih mengecewakan apabila kerajaan yang ada kini seolah-olah meneruskan falsafah ekonomi PH dan pencapatian janji-janji reformasi Demokrasi yang mereka boleh buat untuk meningkatkan keyakinan masyarakat global pada negara.
Kemuncaknya kini adalah apabila Proklamasi Darurat diisytiharkan dan Parlimen sebagai komponen utama Perlembagaan Persekutuan ‘dimandulkan’ apabila persidangan tetap digantung walaupun Seri Paduk Baginda Yang di-Pertuan Agong sebagai Kepala Negara telah bertitah ianya boleh dilaksanakan.
Lebih merisaukan apabila Kuasa Parlimen untuk meluluskan perbelanjaan kerajaan turut digantung. Kini kerajaan boleh berbelanja tanpa had dan ‘semak-imbang’ oleh wakil yang dipilih rakyat. Demokrasi apa ini?
Maka, jangan terkejut dengan angka-angka dan indikator ekonomi negara masih kurang memberangsangkan. Jangan dipersalahkan kepada pandemik COVID-19 semata-mata kerana negara jiran molek sahaja berkembang dan terus meraih perlaburan berkualiti.
Masyarakat global dan para pelabur melihat, mengamati dan menilai apa yang sedang berlaku. Ada pelbagai persoalan yang akan menjadi kunci kepada penilaian risiko mereka.
Bagaimana mahu menyakini Malaysia jika undang-undang tertinggi mereka sendiri pun mereka ‘mandulkan’?
Apakah pelaburan kita akan dilindungi oleh undang-undang Malaysia? Apakah kita masih boleh membawa pulang keuntungan kita? Apakah sektor yang kerajaan hendak fokuskan?
Jawapannya tidak dapat dipastikan kerana kerajaan yang ada kini tampak sibuk berpolitik dari memikirkan kelangsungan ekonomi dan kesejahteraan rakyat.
DR ASYRAF WAJDI DUSUKI
Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia