KUALA LUMPUR, 11 Mei – Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan menitipkan tiga perkara penting mesti senantiasa dilakukan jika UMNO terus ingin meraikan ulang tahunnya.
Katanya, masa depan UMNO itu rahsia Tuhan tetapi ikhtiar melangsungkan UMNO adalah ikhtiar kita pendukungnya.
“Dalam segala kebaikan dan kelemahan UMNO, kitalah karyawannya. Ia mesti dilihat secocok dengan zaman. Jangan terus terbuai dengan nostalgia ketinggalan zaman. Hentilah cerita zaman gemilang sedangkan kedudukan semasa sangat bergelora dan tidak secerah dulu.
“Kedua, pendukungnya mesti pelbagai generasi (intergenerational). Perubahan generasi itu nyata dan mesti diterima. Idea dan pemikiran politik terbaik bukan lagi di ukur pada usia pengucapnya tetapi pada kualiti dan kebernasan idea tersebut.
“Ketiga, nilai dan misi UMNO mesti diperjuangkan oleh mereka yang ikhlas menghidup-hidupi UMNO. Bukan mereka yang mencari penghidupan dari UMNO,” katanya dalam ucapan sempena menjelangnya ulang tahun UMNO, 11 Mei.
Dalam masa yang sama, beliau turut merakamkan terima kasih kepada seluruh pendukung UMNO, kerana masih bersetia walau dalam susah dan payah UMNO kebelakangan ini.
“Insya-Allah dengan bekerja kuat, bersifat terbuka dengan idea dan pemikiran maju serta bersatu padu, UMNO akan pasti menjadi lebih utuh dan baik.
“Allah, bantulah kami memelihara UMNO ini dengan sebaiknya, Amin.” – UMNO Online