1. Jenayah perang dan penjajahan Israel ke atas umat Islam Palestin sejak 6 dekad lalu semakin menjadi-jadi dan tidak menunjukkan tanda akan reda dalam masa yang terdekat.
2. Tahniah kepada seluruh masyarakat Malaysia yang cakna akan isu ini dan bersama-sama menyumbang untuk meningkatkan kesedaran, pemahaman serta bantuan kepada rakyat Palestin dalam kapasiti kita sebagai orang awam.
3. Namun, sebagai sebuah negara yang mempunyai dasar luar yang jelas dan bebas, pendirian serta suara kita harus lebih lantang. Ia harus menjangkaui kecaman semata-mata. Buat masa sekarang, kita mesti memfokuskan kepada sekurang-kurangnya dua perkara prinsip.
4. Pertama, menyemak semula dasar ‘two-state solution’ selari dengan aspirasi rakyat Palestin dan kedudukan semasa di Malaysia.
5. Hari ini dan ketika ini, keadaan ‘circumstances’ telah banyak berubah. Walaupun sebelum ini ada ketetapan ‘two-state solution’, semakin banyak wilayah Palestin diduduki secara haram dan pengusiran penduduk Arab terus menjadi dasar rasmi rejim Yahudi.
6. Yang demikian mewajarkan penilaian semula dasar Malaysia berkaitan ‘two-state solution’. Apalagi bila parti-parti yang mendukung kerajaan sedia ada adalah mereka yang mempunyai pendirian menentang ‘two-state solution’ .
7. Kedua, kita mesti mengisytiharkan secara rasmi Israel sebagai negara apartheid.
8. Berdasarkan kebiadaban Israel dalam operasi pembantaian serta keganasan yang berterusan oleh rejim Zionis, kecaman dan kutukan dunia semata-mata sangat tidak memadai.
9. Sebelum ini negara kita Malaysia sudah mengisytiharkan secara tegas dan terang kepada dunia bahawa kita tidak mengiktiraf negara haram Israel di dalam pasport kita. Kini, kita mesti mengambil langkah yang lebih tegas dan radikal dengan mengisytiharkan bahawa Israel adalah negara apartheid secara rasmi. Ia tidak boleh bersifat kecaman secara bermusim.
10. Dunia mesti melihat operasi pembantaian komuniti Arab, pembunuhan beramai-ramai, perampasan harta dan kediaman serta pembersihan etnik berskala besar oleh Zionis sebagai apartheid sistematik serta jenayah perang dan bukannya ‘self defence’.
11. Dengan mengakui Israel sebagai rejim apartheid, ia akan mengubah kedudukan rejim ini dalam forum-forum dunia dan memberi kesan yang lebih serius seperti pemutusan hubungan diplomatik dan larangan menyertai pelbagai acara dunia seperti Sukan Olimpik dan lain-lain. Perkara ini akan memberi tamparan serta tekanan yang jelas.
12. Saya dan seluruh rakyat Malaysia sangat berharap agar Kerajaan Malaysia akan mengambil langkah yang lebih jelas, tegas dan radikal dalam isu ini. Sesungguhnya kita semua akan dipersoalkan tentang apa yang kita lakukan tatkala saudara kita diperlakukan dengan kejam oleh rejim pengganas yang tidak berperi kemanusiaan.
13. Semoga keamanan, maruah dan hak Palestin akan kembali kepada mereka selayaknya.
DATUK SERI MOHAMED KHALED NORDIN
NAIB PRESIDEN UMNO