KUALA LUMPUR, 17 Jun – Kerajaan wajar memanggil persidangan Parlimen dengan segera serta jangan bertindak secara berdolak-dalih dengan alasan KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah tidak bertitah bulan berapa Parlimen harus bersidang, tegas Timbalan Presiden UMNO Datuk Seri Mohamad Hasan (Tok Mat).
Malah katanya, pengumuman kerajaan sebelum ini melalui Pelan Pemulihan Negara bahawa Parlimen boleh dibuka menjelang September atau Oktober juga bukan satu kepastian.
“Ia tertakluk kepada pelbagai syarat seperti pengurangan kes dan kadar vaksinasi melalui pelbagai fasa yang digariskan.
“Parlimen tidak memerlukan pelbagai fasa dan syarat untuk dibuka kerana ianya adalah medan sebenar segala usaha pemulihan diperdebat dan dibincangkan,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan itu turut menyeru dengan tegas agar titah dan hikmah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong itu harus diterjemahkan tanpa mengambil kira agenda politik.
“Mempolitikkan titah baginda tidak akan membantu pemulihan pantas negara ini.
“Apa jua alasan untuk melengahkan pembukaan Parlimen bukan sahaja tindakan anti demokrasi, tetapi menyinggung kemuliaan dan kebijaksanaan institusi Raja yang bebas dan berada di atas politik,” tegas beliau. –UMNO Online