KUALA LUMPUR, 18 Jun – Secepat mungkin bermaksud segera, bukan bulan hadapan atau tiga bulan lagi.
Demikian tegas Ketua Pergerakan Puteri UMNO, Datuk Zahida Zarik Khan susulan titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Mustafa Billah Shah dalam satu kenyataan rasmi selepas perbincangan khas bersama Raja-raja Melayu yang berlangsung di Istana Negara baru-baru ini.
Yang di-Pertuan Agong dilapor menzahirkan pandangan supaya persidangan Parlimen diadakan secepat mungkin.
“Amat jelas, Tuanku begitu mengambil berat tentang situasi semasa negara berkenaan pemulihan ekonomi, pengurusan krisis COVID-19 dan situasi politik yang tidak stabil.
“Namun yang mengecewakan apabila ada beberapa pemimpin kerajaan mengeluarkan kenyataan seolah-olah tidak faham atau tidak pandai tafsir apa yang Tuanku ingin sampaikan,” kata Zahida menerusi satu hantaran di Facebook.
Jelasnya, beliau lihat selepas dua hari iaitu pada hari ini, sekali lagi laman Facebook Istana Negara memuat naik grafik kenyataan yang sama dikeluarkan oleh Istana tempoh hari.
“Apa maksudnya?
“Pada fahaman saya, ia bukanlah satu ‘pandangan’ biasa, tapi ia sepatutnya dibaca sebagai ‘titah’ DYMM Yang di-Pertuan Agong yang mesti dipatuhi dan dilaksanakan segera,” katanya lagi.
Justeru tambah Zahida lagi, pemimpin kerajaan diminta agar tidak memanipulasi kenyataan demi kepentingan sendiri.
“Hendak seribu daya, tidak hendak seribu dalih,”tegasnya. – UMNO Online