KUALA LUMPUR, 25 Jun – Semua tahu ramai berada dalam keadaan tertekan di mana masalah demi masalah menimpa akibat pandemik COVID-19, ujar Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Rakyat katanya kini hilang pendapatan, hilang pekerjaan, pendapatan isi rumah terjejas dan perniagaan merundum.
“Keadaan bertambah kusut apabila bank berterusan mendesak bayaran itu dan ini. Hari-hari memikirkan apa akan jadi pada masa depan diri dan keluarga, anak-anak yang masih kecil.
“Sehingga kadang kala fikiran menjadi buntu tidak tahu apa lagi boleh dilakukan. Ada pula terlalu rindukan mak abah di kampung, anak-anak dan isteri selepas lama terpisah.
“Kepala bertambah rungsing memikirkan ancaman COVID-19 yang masih berleluasa,” kata Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu dalam satu perkongsian di laman sosialnya pagi tadi.
Ahmad Zahid memberi respon demikian mengulas mengenai komen-komen di Facebooknya yang rata-rata mengeluh mengenai keperitan hidup mendepani ancaman COVID-19 ketika ini.
Berhubung perkara tersebut, Ahmad Zahid juga menasihati kepada yang beragama Islam agar mengingati setiap yang berlaku pasti ada hikmahnya.
“Sentiasa percaya bahawa Allah tidak akan menguji hambanya melebihi kemampuannya. Setiap permasalahan ada penyelesaiannya dan akan tiba jua masanya nanti.
“Mungkin Allah SWT mahu mengingatkan kita kepada sesuatu dan tentang sesuatu.
“Kepada bukan muslim saya pasti ajaran agama masing-masing juga menuntut akan kesabaran,” seru Ahli Parlimen Bagan Datuk itu lagi.
Justeru Ahmad Zahid berharap rakyat negara ini terus tabah kerana apa yang terjadi ini semua di luar kawalan.
“Bukan kita yang menentukan ekonomi negara. Bukan kita yang menguruskan hal pandemik.
“Janganlah kita bertindak di luar batas rasional cuba meragut nyawa sendiri dan sebagainya. Sayangilah diri dan keluarga. Ibu bapa, isteri dan anak-anak kita.
“Jika kita tiada bagaimana dengan nasib mereka yang bergantung hidup pada kita. Jangan menyerah. Jangan berundur. Jangan putus asa. Hidup ini suatu perjuangan,” katanya.
Ahmad Zahid juga mendoakan agar semua sentiasa dalam limpahan naungan rahmat Allah SWT dan syafaat Rasulullah SAW. – UMNO ONLINE