KUALA LUMPUR, 23 Julai – Ketua Penerangan UMNO, Shahril Hamdan menjelaskan bahawa ‘Sambung yang Tergendala’ dilaksana bagi mengangkat idea-idea dasar UMNO agar menjadi sebahagian perbincangan dalam mewarnai landskap politik negara.
Ini kerana katanya, terdapat kelompongan yang dilihat tidak diisi dan dikedepankan misalnya perancangan jangka panjang untuk maju ke hadapan tapi jarang dibicarakan.
“Untuk maju ke hadapan, mana-mana parti sekalipun mesti menampilkan satu visi yang jelas kenapa perlunya disokong… misalnya orang muda menyokong sesebuah parti yang tentunya dalam jangkaan mereka bahawa parti itu boleh membawa gagasan atau untuk idea dan perancangan jangka panjang.
“Saya rasa perkara ini berlaku sebelum Pilihan Raya Umum ke-14. Dalam kerajaan waktu itu iaitu Barisan Nasional (BN) memang ada perancangan jangka panjang… sama ada orang suka atau tak suka tetapi perancangan jangka panjang itu ada dan orang nampak logik.
“Manakala bagi Pakatan Harapan (PH) yang kita menolak… mereka pun kononnya ada perancangan jangka panjang juga tetapi selepas kemenangan mereka pada 9 Mei 2018, pelan jangka panjang itu tak ada,” katanya.
Ketika itu ujarnya, rakyat hanya bertumpu kepada isu-isu semasa dan bukan untuk visi atau perancangan masa hadapan.
“Waktu itu kita nampak isu ICERD… maka kita tolak ICERD, kita nampak isu Rom Statue kita berjuang tolak isu itu, kita nampak moratorium… maka kita ‘fight’ moratorium, kita nampak i-Sinar kita ‘fight’ tentang i-Sinar juga tapi kesinambungannya tak ada iaitu tentang apa sebenarnya visi negara.”
Beliau yang juga Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia berkata demikian ketika membicarakan topik ‘Istiqamah UMNO Buat Kebaikan…’ bersama ‘team’ Fikrah Pahang di sini, hari ini.
“Dalam UMNO, sudah ada perancangan iaitu Jawatankuasa Manifesto dipimpin dengan cukup baik oleh Naib Presiden kita, Datuk Seri Khaled Nordin, namun saya telah mohon keizinan dari YAB Presiden, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi untuk laksanakan ‘Sambung yang Tergendala’ agar idea-idea dasar yang jangka sederhana atau jangka panjang dapat mewarnai lanskap politik kita supaya tidak terlalu sempit ruang bicaranya sebagaimana dalam setahun dua ini.
Ujar Shahril lagi, untuk pilihan raya akan datang tentunya sesiapa yang menampilkan idea-idea yang boleh dipercayai atau diyakini oleh rakyat barangkali ada ‘advantages’ sedikit dalam menentukan undi. – UMNO Online