KUALA LUMPUR, 30 Ogos – Naib Presiden Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin bersetuju dan menyambut baik saranan Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi tentang beberapa perkara yang mesti diusahakan oleh kerajaan.
Jelasnya, antara saranan itu adalah menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat dakwaan mantan Peguam Negara Tommy Thomas terhadap campur tangan politik ke atas Pejabat Peguam Negara, penggubalan undang-undang anti lompat parti, kerangka pendanaan politik yang sah dan telus, pemantapan institusi Polis Diraja Malaysia (PDRM), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) serta mewujudkan Parlimen yang lebih bersih.
“Inilah masanya untuk UMNO memastikan wujudnya kestabilan politik, ketelusan pentadbiran dan perubahan yang besar kepada Keluarga Malaysia.
“Kesemua reform ini adalah kritikal. Ia bukan sahaja baik untuk negara, masyarakat dan amalan demokrasi di negara kita. Tetapi ia membawa bersamanya beberapa pengertian yang lebih penting,” katanya dalam satu kenyataan yang disiarkan di Facebooknya.
Jelasnya lagi, ia juga membuktikan UMNO adalah parti yang serius dalam membawa kebaikan dan sentiasa terbuka dalam memantapkan tadbir urus negara.
“Ia akan membantu memulihkan imej dan persepsi umum kepada UMNO khususnya dalam menzahirkan keupayaan serta fokus menjadikan Malaysia negara yang lebih baik.
“Segala reform ini akan dapat memisahkan UMNO dari Perikatan Nasional (PN) dan Pakatan Harapan (PH) yang sebelum ini dilihat sekadar menabur janji manis sedangkan gagal melaksanakan segala penambahbaikan yang dijanjikan kepada rakyat,” ujarnya.
Begitu juga katanya, UMNO percaya dan yakin pentadbiran negara di bawah kemudi Perdana Menteri dari UMNO iaitu Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob akan membawa perubahan dan kebaikan yang semua harapkan. – UMNO ONLINE