KUALA LUMPUR, 8 Okt – Keputusan sama ada PRN Melaka harus diadakan atau ditangguhkan haruslah dipertimbangkan dengan sebaiknya oleh pihak Kerajaan dan Suruhanjaya Pilihan Raya, kata Datuk Seri Mohamad Hasan.
Ujarnya, pembubaran Dewan Undangan Melaka memaksa satu pilihan raya negeri perlu di adakan dalam masa 60 hari sedangkan ramai yang gusar ia akan mencetuskan satu lagi gelombang kejangkitan Covid 19 seperti yang berlaku di Sabah tahun lepas.
“Telah ada semacam konsensus di kalangan pakar dan pengamal perubatan negara bahawa PRN Melaka tersebut harus di tunda sehingga wabak ini benar-benar reda.
“Walaupun kadar vaksinasi penuh untuk golongan dewasa telah hampir 90 peratus, kadar jangkitan masih boleh menaik dengan mendadak.
“Walaupun kita yakin dengan sains dan kehidupan berdemokrasi mesti dipulihkan, kebimbangan kumpulan perubatan mempunyai asas yang kukuh dan wajar diberikan perhatian terpenting,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Ujarnya, rakyat Malaysia mungkin memerlukan masa untuk beralih kepada fasa endemik dan hidup dengan kehadiran virus ini.
“Namun terpulanglah kepada Kerajaan untuk memutuskan yang terbaik untuk rakyat Melaka dan Malaysia amnya
“Insya-Allah yang terbaik itu adalah keutamaan kepada nyawa, kesihatan dan kemaslahatan umum.
“Yang pasti penyelesaian krisis politik Melaka akan kembali ditentukan oleh rakyat juga akhirnya tetapi pada masa dan ketika yang sesuai,” katanya lagi. – UMNO Online