Semarakkan Perjuangan, Waspada Pihak Nak ‘Bunuh’ UMNO

Alhamdulillah. Saya bersyukur dengan segala apa yang berlaku hari ini malah iklim negara kita yang sebelum ini bercelaru pun dan beransur-ansur tenang. Lagilah bila saya mengikuti perkembangan mesyuarat Cawangan UMNO yang diadakan di seluruh negara bermula 15 Okt – 30 Nov nanti. Walaupun saya bukan lagi Setiausaha Agung UMNO, tetapi saya memantau situasi semasa berkaitan UMNO.

Sungguh, sekalipun persidangan Cawangan UMNO kali ini terhad dan akur dengan SOP yang dijalankan namun dapat dilihat bahawa semangat perjuangan di peringkat akar umbi amat memberangsangkan malah jiwa perjuangan UMNO tidak pernah mati.

Walaupun ada persidangan yang terpaksa patuh pada kehadiran ahli yang terhad sementara ada yang melaksanakan secara maya namun ia masih menggalas tanggungjawab untuk terus berjuang mendukung cita-cita kebangsaan demi agama, bangsa dan negara.

Keputusan MKT UMNO menjelaskan mesyuarat boleh diadakan secara bersemuka atau maya atau gabungan bersemuka dan maya mengikut situasi COVID-19 di kawasan masing-masing asalkan mengikut SOP yang dibenarkan dari kerajaan.

Terbukti bahawa bukan hanya ahli-ahli UMNO malah bangsa Melayu dan rakyat keseluruhan inginkan perubahan dan tentunya mahukan ke arah yang terbaik selepas tumbangnya kerajaan BN bersama UMNO. Selepas melalui PRU ke-14 hinggalah kini, ternyata ramai yang sedar bahawa UMNO harus terus relevan dan perlu terus berjuang sebagaimana kewujudannya dari sebelum merdeka hinggalah mengecapi kegemilangan yang akhirnya runtuh akibat fitnah dan tohmah.

Melihatkan kehadiran anggota akar umbi yang menghidupkan Cawangan-cawangan UMNO, ternyata mereka yang hadir bukan hanya golongan veteran yang kononnya hidup bersandarkan sejarah sebaliknya, ramai juga golongan muda belia turut menyertai yang tentunya bakal mencipta sejarah untuk membawa UMNO kembali sebagai tampuk pentadbiran negara.

Sememangnya amat penting bagi golongan muda ada dalam UMNO kerana mereka adalah pewaris perjuangan, lebih dari itu mereka inilah bakal pemimpin masa hadapan untuk teraju negara. Janganlah pula anak muda ditegah bersama UMNO sebaliknya libatkanlah mereka dan janganlah penglibatan dalam UMNO dibuat demi bersandarkan kepentingan tertentu.
UMNO tak menjanjikan apa-apa, bukan untuk jadi proksi demi harta benda, kemewahan dan kuasa atau dijadikan batu loncatan. Sebaliknya UMNO adalah platform perjuangan yang telah digarap dengan begitu elok. Ada asas tujuan yang jelas, ada organisasi yang mantap, ada Perlembagaan dan etika yang mengikat malah sistem teratur yang disokong anggota akar umbi hinggalah ke pucuk pimpinan teratas.

Kerana itu, jagalah imej UMNO, jangan lagi robekkan dengan sifat dangkal tanpa beralas perjuangan. Jadikanlah pengalaman PRU lalu sebagai pengajaran kerana kita sedar bahawa fitnah amat bahaya natijahnya. Ikatlah silaturrahim dan kesepaduan dalam bangsa kita tanpa sebarang sifat prejudis dan prasangka sebaliknya ikhlaskan diri laksanakan amanah atas perjuangan agama, bangsa dan tanah air.

Ketahuilah bahawa bangsa Melayu tak akan kemana jika berpecah-belah. Tewasnya UMNO adalah kerana berpecahnya Melayu. UMNO ini terasnya bangsa Melayu yang tentunya Islam adalah keutamaan dalam perjuangan.

Lihat sahaja bagaimana parti-parti politik yang ada hari ini adalah lahir dari serpihan UMNO sendiri. Kegagalan merebut jawatan Yang DiPertua UMNO pada tahun 1951, Tuan Haji Ahmad Fuad yang merupakan Pengerusi Badan Agama UMNO telah menubuhkan Pas, yang kemudiannya serpihan dari Pas ada pula PAN sekarang ini.

Begitu juga dengan Semangat 46, kewujudan PKR, PPBM malah parti Pejuang pun adalah kerana kegagalan mereka dalam UMNO yang lahir daripada rasa tidak puas hati. Mereka ini keluar dari UMNO membentuk parti lain yang secara nyata telah menyebabkan bangsa Melayu berpecah belah.

Berhati-hatilah berdepan dakwaan atau macam-macam spekulasi berkaitan UMNO.

Pihak yang nak ‘bunuh’ UMNO mengatakan bahawa UMNO hanya tinggal sejarah tapi fahamilah sejarah yang membentuk UMNO dan kajilah juga parti-parti lain yang hari ini adalah serpihan UMNO. Jika sekarang mereka nak tuduh UMNO tamak kuasa kerana nak tanding sendiri… maka fikirkanlah mana pernah UMNO tanding dalam mana-mana pilihan raya menggunakan bendera UMNO malah sejak pilihan raya pertama hingga kini UMNO tetap bersama parti lain dalam ikatan Parti Perikatan dan kemudian hari ini BN.

Nak tuduh UMNO tamak kuasa… kalau tamak kuasa dulu taklah MP-MP UMNO sokong lantik PM dari parti lain, tapi kenapa UMNO tarik sokongan pun mestilah bersebab… semuanya adalah demi rakyat, demi agama, bangsa dan negara.

Kita bukanlah parti yang suka buka pekung pihak lain atau saling mengata tapi ketahuilah bahawa UMNO lakukan demi masa hadapan yang baik setelah pelbagai kucar-kacir berlaku. UMNO parti perjuangan dan akan terus berjuang selari dengan matlamat asal yang akan terus kukuh untuk setiap lapisan generasi.

Selama ini pun, dari sebelum sehinggalah merdeka, semasa berkerajaan dan dalam keadaan kita menjadi pembangkang sekalipun, UMNO tetap mahu mendahulukan rakyat. Biarpun kita akui ada kepincangan dalam seorang dua namun ia bukanlah mewakili kesemuanya. Kita bukan sempurna malah dalam setiap kebaikan yang kita lakukan tetap ada kecacatannya.

Sekarang ini, lihatlah manfaat yang telah dituai oleh bangsa kita hasil daripada pelbagai perjuangan dari kepimpinan UMNO malah ada yang diusulkan dalam Perhimpunan Agung UMNO, dan diluluskan. Dari RIDA kepada MARA,Tabung Haji termasuklah wujudnya ITM yang kini jadi UiTM diluluskan dalam Perhimpunan Agung UMNO lantaran tidak mahu bangsa Melayu/Bumiputera ketinggalan khususnya bagi mereka yang tidak mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan.
Sungguh, jika mahu jadi kacang lupakan kulit sekalipun, janganlah sampai jadi Si Kitol yang khianat pada bangsa sendiri.

Sekarang nilailah kembali antara lebih 60 tahun kerajaan dalam BN/UMNO menerajui negara dengan suasana selepas PRU-14 lalu. Moga Allah SWT rahmati perjuangan kita dalam UMNO.

TENGKU ADNAN TENGKU MANSOR
Bendahari UMNO