KUALA LUMPUR, 29 Okt – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengingatkan rakyat Melaka dengan mengimbau kembali apa yang telah berlaku selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) apabila negara kehilangan kestabilan politik, ekonomi rakyat dan negara merosot selain perpaduan masyarakat merundum.
Rakyat pula katanya pada waktu itu dituduh pemalas, malah diminta ikat perut serta jangan terus mengharapkan bantuan kerajaan selain hubungan diplomasi dengan negara luar terjejas, hasil negara difaraid, manakala kroni-kroni kembali mengaut kekayaan.
“Lebih menyedihkan sejarah Malaysia mahu diubah, hak keistimewaan Bumiputera cuba diganggu-gugat. Perlembagaan Negara diperkotak-katik, institusi diraja tidak dihormati, kedaulatan undang-undang dicemari. Kemudian demokrasi digantung demi mengekalkan kuasa dan kedudukan dengan alasan pandemik,” katanya menerusi catatan di Facebook.
Tegas Ahmad Zahid lagi yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk, peringatan ini bukanlah bertujuan untuk menghina sesiapa, tetapi sebagai fakta dan panduan untuk rakyat Melaka membuat “redemption” menebus semula jaminan masa hadapan dan kestabilan yang mutlak bersama BN.
“Dan kita ingatkan juga sepanjang tempoh itu apa yang BN lakukan untuk melawan kebejatan berkenaan. Apa yang BN dan para pimpinannya terpaksa harungi demi mempertahan masa depan rakyat dan negara.
“Sekali lagi kita ingatkan kembali kepada rakyat Melaka apa yang berlaku selepas 9 Mei 2018. Apakah natijah Malaysia ditadbir oleh kerajaan yang ditubuhkan berasaskan fitnah, pembohongan dan tipu daya.
“Apakah akibat ditadbir sebuah kerajaan yang dibarisi oleh mereka yang hanya pandai ‘berlakon’ dan berjanji. Sesungguhnya tiada keberkatan pembentukan kerajaan seperti itu kerana pada akhirnya kebenaran pasti terserlah. Orang Melaka akan membuktikan rakyat Malaysia tidak lagi boleh dimanipulasi dan akan mengembalikan kerajaan BN,” ujarnya.- UMNO Online