Calon Muda BN Wajib Masuk DUN Untuk Memperhebat Suara Orang Muda

MELAKA, 13 Nov – Calon-calon muda wakil daripada Barisan Nasional (BN) di dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka wajib diberi ruang untuk masuk ke Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi memperhebat suara orang muda, ujar Ketua Penerangan UMNO Shahril Hamdan.

Shahril yang juga Naib Ketua Pemuda UMNO Malaysia berkata pihaknya memberi jaminan bahawa calon dari BN akan bertungkus-lumus dan berkhidmat kepada rakyat hasil daripada sokongan rakyat negeri Melaka.

“Ramai orang muda diberi peluang dalam PRN ini oleh BN. Tidak boleh dinafikan dengan adanya Undi18 yang bakal mengubah senario politik negara, lebih ramai orang muda wajar menjadi calon.

“BN mempertaruh beberapa orang muda, ada yang sudah ditonjolkan sebelum ini seperti Along (Fairul Nizam Roslan) yang bertanding di DUN Asahan, Dr. Akmal (Akmal Saleh) yang bertanding di DUN Merlimau, dan Datuk Dira (Khaidirah Abu Zahar) yang bertanding di DUN Rim,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook.

Justeru, dalam status media sosialnya itu, Shahril mempromosikan dua lagi calon muda UMNO iaitu di DUN Paya Rumput dan DUN Duyong.

“Yang Pertama, Datuk Rais Yasin. Calon DUN Paya Rumput. Anak Jati Paya Rumput, Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO yang juga Ketua Pemuda UMNO Tangga Batu. Seorang yang lama berkhidmat di Tangga Batu dan sentiasa berada di Paya Rumput.

“Datuk Rais kelulusan Universiti Al-Azhar, antara universiti tertua di dunia. Anak Muda yang senang didekati oleh orang kawasan dan meluangkan sebanyak mungkin masanya bersama rakyat.

“Selalu juga saya lihat dia update menyampaikan tazkirah dan khutbah setiap minggu. Ini adalah Calon yang terbaik bagi Paya Rumput. Calon kestabilan dan calon yang akan tetap setia kepada rakyat yang mengundinya,” katanya.


Manakala calon kedua kata Shahril adalah Mohd Noor Helmy Abdul Halem di DUN Duyong.

“Ketua Pemuda UMNO Bahagian Kota Melaka. Orang Kota Melaka pasti kenal Helmy sebagai Ahli Majlis Bandaraya yang sentiasa prihatin akan isu rakyat. Banyak perkara yang disuarakan oleh rakyat, beliau tangani dengan tuntas dan selesaikannya.

“Semasa wabak COVID-19, Helmy bersama Pemuda Bahagian Kota Melaka menjayakan program sanitasi di mana 5,340 buah rumah telah disanitasikan secara percuma untuk rakyat Kota Melaka,” katanya sambil berkata Pilih Pembaharuan, Pilih BN. – UMNO ONLINE