BN Mangsa Kempen ‘Mind Setting’ Buruk PH, Rakyat Jangan Tertipu Lagi – Mahdzir

 

PONTIAN, 27 Feb. – UMNO dan Barisan Nasional (BN) menjadi mangsa kempen ‘mind setting’ dan sentimen buruk oleh Pakatan Harapan (PH) sebelum Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

Menurut Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid, kempen memainkan sentimen memburukkan UMNO dan BN itu telah meracuni fikiran rakyat hinggakan mereka terpedaya.

“Kempen ‘mind setting’ dan sentimen buruk selama 18 bulan oleh PH itulah yang menyebabkan rakyat terpedaya dengan strategi untuk menumbangkan UMNO dan BN pada PRU14, tahun 2018 dahulu.

“Sedangkan semua itu adalah untuk memperdayakan minda rakyat supaya mempercayai segala apa yang mereka perkatakan demi untuk menjatuhkan sebuah kerajaan yang telah melakukan segalanya untuk rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan pada Majlis Bersama Jentera BN DUN Pulai Sebatang dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor di Dewan UMNO Pontian di sini, hari ini.

Jelas Mahdzir, janji menggunung PH juga telah menyebabkan rakyat termakan gula-gula manis sehingga segala sistem dan amalan baik untuk rakyat dirosakkan atas nama ‘Rejim Baharu’.

“Atas nama ‘Rejim Baharu’ juga, PH yang kemudiannya memerintah negara selama 22 bulan telah membatalkan pelbagai projek pembangunan bermanfaat kepada rakyat dan negara,” ujarnya.

Lebih buruk lagi, katanya, situasi ekonomi negara dan pelaburan semakin menjunam kesan daripada dasar-dasar PH yang bertentangan dengan asas ekonomi.

“Kita dapat melihat situasi jelas dalam kalangan rakyat apabila mereka tidak menyanggah kerajaan PH tumbang selepas 22 bulan memerintah.

“Itu adalah petanda bahawa rakyat sememangnya bersetuju bahawa kerajaan PH tidak layak mentadbir negara kerana mereka telah merosakkan sistem dalam negara ini yang dibina oleh BN.”

Justeru tegas Mahdzir, rakyat di Johor diingatkan agar tidak terpedaya sekali lagi dengan segala dakyah PH dalam setiap kempen pada PRN Johor yang bermula hari ini. – UMNO Online