JOHOR BAHRU, 7 Mac – Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan memaklumkan bahawa Barisan Nasional (BN) dijadikan tentangan yang begitu hebat oleh parti-parti lain dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor kerana BN adalah parti yang relevan dari dulu hingga kini dan juga pada masa akan datang.
Jelasnya, segala pembangunan yang dilihat di Johor adalah datangnya dari era BN mentadbir.
“Pihak lawan tentunya akan ‘membantai’ kita tapi kita akan terus berdiri dan gagah berhadapan dengan mereka. Dengan izin Allah SWT dan sokongan semua rakyat, insya-Allah BN akan menang 12hb ini.
“Ini disebabkan BN adalah parti yang relevan dari dulu, kini dan pada masa akan datang. Apa yang dilakukan oleh BN Johor ini boleh dilihat di hadapan mata segala pembangunan yang ada di Johor.
“Daripada Mersing hingga ke Johor Bahru, sehingga Pagoh dan Muar sampailah ke Pengerang maka segalanya dilakukan oleh BN. Sama ada dari klinik sampailah ke hospital yang besar, dari sekolah sampailah ke universiti, sama ada dari surau hinggalah ke masjid yang besar, pekan kecil dan pekan besar hingga ke bandaraya semuanya dibina dalam era BN,” katanya.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Pontian berkata demikian kepada UMNO-Online dalam kempen PRN Johor yang telah bermula sejak 26 Feb lalu.
Dilaporkan, seramai 239 calon layak bertanding pada PRN Johor dengan minimum tujuh pertandingan tiga penjuru dan dua pertandingan tujuh penjuru.
Daripada keseluruhan 239 calon, 56 masing-masing adalah calon BN dan PN, Pakatan Harapan (30), Pejuang (42), PKR (20), Bebas (16), Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) (7), Parti Warisan (6), Parti Bangsa Malaysia (PBM) (4), dan masing-masing satu mewakili Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) dan Parti Sosialis Malaysia (PSM). – UMNO Online