Aplikasi MySejahtera: Ketelusan Semua Perkara Penting Untuk Keyakinan Rakyat – Mohamad

KUALA LUMPUR, 29 Mac – Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan menegaskan bahawa ketelusan semua perkara adalah sangat penting untuk mengukuhkan keyakinan rakyat tentang pelan Kerajaan dalam melebarkan aplikasi MySejahtera dari fungsi asalnya.

Ujarnya, aplikasi MySejahtera dibangunkan oleh Kerajaan Malaysia bagi tujuan pengawasan penularan wabak COVID-19.

“Alhamdullilah, ia adalah aplikasi yang sangat membantu dan bermanfaat. Namun laporan pelantikan entiti persendirian, MySJ Sdn. Bhd. sebagai syarikat yang akan menguruskan applikasi MySejahtera untuk fasa seterusnya, adalah sesuatu yang membimbangkan,” katanya menerusi kenyataan dalam laman facebooknya, hari ini.


Jelasnya, walaupun Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telahpun memberikan penjelasan, ada beberapa kekeliruan yang wajar dijelaskan terutamanya tentang pelantikan MySJ Sdn. Bhd. melalui mekanisme rundingan terus, dan bukannya melalui tender terbuka.

“Rakyat berhak mengetahui rasional dan motif serta kemampuan entiti yang terlibat. Apalagi kerana keputusan sebegini melibatkan pengurusan data peribadi dan maklumat kesihatan, pergerakan dan tren kehidupan puluhan juta rakyat Malaysia.

“Janganlah kita lupa bahawa aplikasi ini dibangunkan pada awalnya sebagai suatu tanggungjawab sosial korporat untuk mendepani pandemik yang menular. Apa-apa tujuan lain selain pengawalan pandemic memerlukan Kerajaan melakukan libaturus yang komprehensif dengan semua pemegang taruh, terutamanya rakyat Malaysia.”

Katanya, segala rencana menaik-taraf penggunaan aplikasi tersebut, bagi memudahan urusan pendermaan organ atau apa jua urusan kesihatan yang lain, walaupun bermanfaat, namun adalah tidak selari dengan tujuan asal pembangunan aplikasi tersebut.

“Dan sekiranya cadangan menaik taraf dan mempelbagaikan fungsi MySejahtera ini ingin dilakukan, mekanisme semak dan imbang sangat diperlukan bagi memastikan keutuhan maklumat peribadi rakyat Malaysia tidak dikompromi.

“Malaysia akan memasuki fasa endemik mulai 1 April 2021. Kerajaan juga wajar memutuskan rasional penerusan pendaftaran melalui MySejahtera dan kewajipan pengaktifan MySJTrace.

“Rakyat Malaysia tidak boleh selamanya dibebani dengan mekanisme ‘surveillance’ yang secara langsung, mencerobohi privasi dalam pergerakan dan kehidupan seharian mereka.”

Tegas beliau lagi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau, tentukanlah tempoh masa, sebelum semua ini boleh dihentikan, demi normalisasi kehidupan rakyat Malaysia sama seperti sebelum pandemik.

Sebelum itu, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin telah menegaskan bahawa kerajaan tidak pernah menjual aplikasi MySejahtera kepada mana-mana syarikat swasta dan menjelaskan sejak 26 November 2021, pihak kerajaan telah memutuskan bahawa aplikasi MySejahtera adalah hak milik kerajaan dan Kementerian Kesihatan dilantik sebagai pemilik utama aplikasi untuk pengurusan kesihatan awam negara.

Terdahulu dilaporkan tular dakwaan bahawa aplikasi MySejahtera bakal dijual kepada sebuah syarikat swasta dan merisaukan ramai pihak kerana maklumat peribadi mereka didakwa boleh digunakan untuk tujuan lain. – UMNO Online