KUALA LUMPUR, 29 Mei – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengiktiraf peranan wartawan dalam memupuk keharmonian antara kaum dan perpaduan nasional.
Katanya, wartawan juga membawa matlamat mewujudkan suasana menghormati, mempercayai dan memahami dalam kalangan masyarakat di negara ini.
“Saya mengucapkan selamat Hari Wartawan Nasional yang disambut pada 29 Mei 2022 yang diangkat oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) bermula tahun 2018.
“Antara lain bagi mengiktiraf peranan dan sumbangan wartawan Malaysia dalam proses membina negara begitu juga dalam mendokong kemakmuran dan kesejahteraan kehidupan masyarakat,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Beliau yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) berkata menelusuri perkembangan zaman, dunia kewartawanan juga tidak ketinggalan berdepan cabaran-cabaran baharu.
“Kepesatan teknologi maklumat dan media sosial mendorong kepada persaingan real-time reporting ia sekaligus mendambakan keseimbangan antara profesionalisme dan kepantasan melapor yang terkini.
“Menyampaikan maklumat yang telus, adil dan saksama disebalik tuntutan masa dan editorial.
“Malaysia bukan negara konflik, namun dalam keadaan tertentu wartawan turut berdepan ancaman keselamatan,” ujar beliau.
Ahmad Zahid juga meluahkan penghargaan kepada para wartawan dalam memberikan maklumat terkini kepada masyarakat terutama ketika negara berhadapan dengan penularan COVID-19.
“Semasa pandemik COVID-19, wartawan antara mereka yang berada di barisan hadapan menyampaikan apa yang sedang, telah dan akan berlaku untuk pengetahuan anggota masyarakat.
“Semoga wartawan Malaysia terus berdedikasi dalam menyampaikan laporan yang telus dan seimbang,” ujar beliau. – UMNO Online