PUTRAJAYA, 6 Julai – Hal berkaitan kenaikan harga barangan telah membawa kepada rungutan dalam kalangan masyarakat di seluruh negara, termasuk para peniaga dan pembeli.
Sehubungan itu, Bendahari UMNO merangkap Ahli Parlimen Putrajaya, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berharap agar mekanisme untuk membantu rakyat yang sekarang ini terhimpit ekoran kenaikan harga barang di pasaran perlu diaplikasi secepatnya.
Katanya, rakyat merasai kenaikan harga barang bukan sahaja ayam malah barangan keperluan lain pun yang menyebabkan kehidupan mereka amat perit.
“Saya memahami bahawa sebenarnya bukan hanya rakyat yang terkesan malah para peniaga juga kerana mereka memperoleh barangan daripada pembekal. Apabila harga barangan yang tinggi, maka tentunya keperitan akan dirasi oleh rakyat apatah lagi barang-barang ini adalah melibatkan barangan keperluan harian,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas turun padang untuk bertemu dengan peniaga-peniaga di Pasar P8, di sini.
“Saya mendengar keluhan mereka, juga rungutan pengunjung pasar dan saya tahu bahawa hak tersebut perlu penyelesaian dengan melibatkan semua pihak secara bersama,” katanya.
Dalam hal ini, beliau juga berjanji akan mengutarakan penyelesaian tuntas kepada pihak berwajib khususnya kementyerian-kementerian yang terbabit agar masalah rakyat dapat ditangani segera. – UMNO Online