SEPANG, 25 Sept – Wanita UMNO merupakan pengurus utama harapan pengundi dalam menentukan kemenangan UMNO/Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15.
Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, mengurus sesuatu organisasi itu perlu dilakukan dengan baik terutamanya dalam menepis krisis yang dihadapi.
“Mengurus ini sesuatu perkara yang paling penting dalam apa jua keadaan. Organisasi yang tidak diurus dengan baik akan jatuh.
“Mengurus harapan pengundi amat penting. Kita kalah pada PRU ke-14 dahulu disebabkan banyak perkara. Adakalanya pengurus gagal menguruskan krisis. Seorang pengurus yang baik akan menyediakan pelan bagi menepis krisis,” katanya ketika program ‘Women Re-Energize Leadership Development’ di sini, hari ini.
Beliau yang juga Timbalan Pengerusi BN merangkap Pengarah Pilihan Raya BN turut berkata, sekiranya UMNO/BN mahu menang pada PRU ke-15, mereka perlu bekerja dengan lebih keras.
“Jangan anggap kita nak PRU ni nak seronok-seronok sahaja. Ini adalah antara hidup dan mati. Nak menang macam mana? Nak menang, buat cara nak menang.
“Pengundi banyak bantu kita untuk bangkit semula. Kita menang di tujuh Pilihan Raya Kecil (PRK), tak cukup dengan itu, di Pilihan Raya Negeri (PRN) pun mereka berikan mandat kepada kita.
“Bermula di Sabah, di Melaka kita menang selesa walaupun ada yang mengatakan kita tidak mampu menang,” katanya lagi.
Menurutnya lagi, ini adalah masa yang terbaik untuk bergerak ke hadapan bagi mengatur langkah kemenangan.
“Inilah masanya untuk kita strive. Pihak pembangkang tengah huru hara. Takkan nak tunggu Tun Mahathir berpeluk-peluk dengan rakyat Malaysia baru kita nak adakan PRU?
“Kita dah menang 13 kali, kalah cuma sekali. Itu yang menjadi pembakar semangat kita untuk bangkit kembali.
“Kita mesti ambil semula Putrajaya. Jangan menumpang ihsan dan kasih sayang orang,” katanya lagi.
Program ‘Women Re-Energize Leadership Development’ berlangsung selama tiga hari dari 23 September sehingga 25 September dengan bertujuan untuk mengarus perdanakan perjuangan Wanita UMNO dalam mendepani PRU ke-15. – UMNO Online