VETERAN Umno menggesa Tun Dr Mahathir Mohamad bersama dua bekas Menteri Kewangan memberi penjelasan berkait dakwaan kehilangan aset Umno yang dikatakan bernilai RM100 bilion.
Penjelasan bekas Perdana Menteri yang juga bekas Presiden Umno itu bersama Tun Daim Zainuddin yang juga bekas bendahari parti, selain Tan Sri Nor Mohamed Yakop, adalah perlu kerana rakyat khususnya ahli parti itu berhak tahu cerita sebenar.
Menerusi satu kenyataan, Setiausaha Agung Veteran Umno, Datuk Mustapha Yaakub, berkata dakwaan itu adalah sesuatu yang serius dan melibatkan dana besar serta membabitkan kepentingan awam.
Mustapha merujuk dakwaan pengendali laman blog MalaysiaToday, Raja Petra Kamarudin, kononnya wujud pertelagahan di antara ketiga-tiga bekas pemimpin itu berhubung isu aset berkenaan.
Dr Mahathir menjadi Perdana Menteri keempat dan paling lama berkhidmat bermula 16 Julai 1981 sehingga 31 Oktober 2003.